Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menubuhkan lebih banyak pasukan Bomba Sukarela di seluruh pulau peranginan termasuk di Sabah dan Sarawak.

Ketua setiausahanya, Datuk Seri Mohammad Mantek berkata setakat ini, hanya Pulau Pangkor dan Pulau Tioman yang mempuyai Balai Bomba yang lengkap.

Menurutnya, kewujudan pasukan itu amat perlu bagi memberi tindakan pantas sekiranya berlaku kecemasan di kawasan pulau.

"Penubuhan Bomba Sukarela akan diperluaskan untuk pulau-pulau, khususnya di mana penempatannya agak tinggi, termasuk di resort.

"Di resort, mungkin kita boleh tubuhkan Bomba Sukarela dalam kalangan pekerja-pekerjanya. Sekiranya berlaku kemalangan di resort ataupun di kawasan kampung, mereka boleh memberi bantuan kepada penduduk," kata Mohammad.

Beliau berkata, penubuhan itu sangat penting kerana pusat peranginan biasanya terletak agak jauh dari tanah besar.

Tambahnya, anggota Bomba Sukarela itu akan dilatih dengan kemahiran pencegahan kebakaran supaya dapat memberi tindak balas awal bagi mengawal kes kebakaran.