Sebuah gabungan yang menggelarkan diri mereka Tadbir Urus, Integriti, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (GIAT) menggesa pembaharuan segera terhadap cara parti politik dan kempen pilihan raya dibiayai.

Dalam satu kenyataan akhbar, gabungan itu juga menggesa ketelusan terhadap akaun peribadi ahli politik.

GIAT juga menyifatkan laporan Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah disalurkan ke akaun peribadi perdana menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai amat mengejutkan.

"Jika benar, insiden ini adalah tanda-tanda masalah yang lebih besar," kata kenyataan itu.

GIAT mengulangi keperluan mendesak untuk melaksanakan beberapa cadangan yang dibuat dalam satu laporan pada tahun 2005 oleh Transparency International Malaysia dan polisi oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi tentang pengisytiharan aset.

Antara cadangan yang diutarakan ialah mengguna pakai Akta Pembiayaan dan Pengisytiharan Aset Politik dan pengisytiharan aset oleh semua ahli badan eksekutif dan perundangan, termasuk senator dan pegawai-pegawai kanan awam.

Laporan itu juga menggesa pembaharuan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya untuk diberi kuasa autonomi dan bebas mengawal selia semua parti politik selain mendedahkan akaun parti politik yang telah diaudit pihak berkecuali berkaitan pembiayaan parti politik dan calon terbabit.

GIAT -- yang dianggotai Transparency International Malaysia, Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4), Citizen's Network for a Better Malaysia (CNBM), Friends of Kota Damansara, Sinar Project dan Institute for Democracy and Economic Affairs (Ideas) -- percaya bahawa kerajaan Malaysia perlu menggubal pembaharuan ini sekarang atau hilang kredibilitinya.

Dalam artikelnya yang disiarkan Jumaat lepas, WSJ mendakwa dana 1MDB berjumlah AS$700 juta (kira-kira RM2.6 bilion) telah disalurkan kepada akaun peribadi Perdana Menteri, satu dakwaan yang dinafikan Najib dan 1MDB.

Sejak itu, beberapa pihak telah menggesa Najib mengambil tindakan undang-undang terhadap WSJ bagi membersihkan namanya dan mempertahankan integriti kerajaan.