Pembinaan laluan Transit Aliran Massa (MRT) bagi Sungai Buloh-Kajang kini 85 peratus siap dengan mencatat kemajuan yang baik untuk dijadualkan beroperasi pada Disember ini, menurut Mass Rapid Transit Corp Sdn Bhd.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan, Datuk Najmuddin Abdullah berkata kesemua kerja struktur awam bagi stesen bertingkat telah siap, begitu juga laluan pandu dan kerja landasan bagi seksyen jejambat.

"Kerja-kerja seni bina stesen rancak dilaksanakan dan hampir siap di bahagian utara dan bahagian selatan turut mencatat kemajuan," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama media di sini, Selasa malam.

Beliau berkata kerja di pintu masuk dan pemasangan jambatan pengantara merentasi jalan raya serta kemudahan di bahagian bawah stesen turut berjalan lancar.

Najmuddin berkata bagi seksyen bawah tanah, kesemua kerja struktur stesen juga telah siap, kecuali laluan masuk dan struktur laluan keluar di atas aras bumi dan pintu masuk.

Beliau berkata semua 24 tren yang diperlukan bagi fasa satu telah diserahkan kepada Depot Sungai Buloh dan kini menjalani pengujian di seksyen fasa satu jejambat itu.

"Bagi MRT Laluan 2, laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP), pembinaan akan bermula akhir bulan ini dengan kerja-kerja pembukaan.

"Setakat ini, 18 pakej kerja telah diberikan, manakala bakinya akan diumumkan kemudian," katanya.

Najmuddin berkata Laluan SSP juga akan beroperasi mengikut dua peringkat, dengan fasa pertama pada Disember 2021 dan fasa kedua pada Julai 2022.