Perintah larangan sementara perbincangan merit kes SRC International Sdn Bhd melibatkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mendapat kebenaran Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohd Sofian Abdul Razak.

Peguam utama Najib, Tan Sri Shafee Abdullah berkata, perintah itu penting bagi mengelakkan kenyataan yang tidak adil ke atas anak guamnya.

“Arahan larangan itu adalah bertujuan untuk menghentikan sesiapa sahaja membuat apa-apa kenyataan yang tidak adil kemudian diterbitkan media.

“Sebagai contohnya sebelum perbicaraan, ada pihak yang membuat kenyataan bahawa Najib 100 peratus bersalah, atau mereka tidak pernah melihat kes sebesar ini dan sebagainya.

“Kita ada perlembagaan perbicaraan yang adil, salah satu asas perbicaraan yang adil adalah anda tidak boleh berbincang, membuat kenyataan ke atas merit kes,” jelas Shafee.