Perintah larangan pembakaran terbuka yang sebelum ini dikuatkuasakan di beberapa negeri di Semenanjung ditarik balik berkuat kuasa semalam.

Ketua Pengarah Alam Sekitar Datuk Halimah Hassan, berkata ini berikutan perkembangan status kualiti udara masa ini yang telah stabil dan bertambah baik.

Sebelum ini, perintah larangan itu yang diperuntukkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2001 dikuatkuasakan di Perak dan Pulau Pinang pada 25 Jun.

Pada 24 Jun pula, larangan itu dikuatkuasakan di Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu, dan 19 Jun di Selangor, Melaka dan Johor.

Secara keseluruhannya, status kualiti udara di seluruh negara bertambah baik dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dari 52 stesen pengawasan kualiti udara Jabatan Alam Sekitar sehingga 11 pagi tadi mencatatkan 51 kawasan berada pada tahap baik dan satu kawasan pada tahap sederhana.

Halimah seterusnya berkata negara kini masih dipengaruhi angin monsun barat daya sehingga awal Oktober dengan keadaan cuaca dijangka panas dan kering.

"Dalam tempoh ini, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka," tambahnya.