Berjalan kaki sejauh 10 kilometer selama lebih enam jam dengan menempuh laluan mencabar seperti menyeberangi sungai dan jambatan gantung, itu pengalaman dirasai 100 sukarelawan bagi menyerahkan barangan keperluan, kepada para pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Longkogungan, sebuah sekolah pedalaman di sini.

Ekspedisi dua hari satu malam bermula Sabtu lepas itu diketuai Harry Yanto Bikal, yang juga guru sekolah berkenaan dan mendapat kerjasama pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) Siscariell Maikol, pertubuhan sukarelawan Junior Chamber International Kota Kinabalu, Mercy Malaysia, pendaki tempatan serta pengamal media.

Antara barangan yang dipikul sepanjang perjalanan yang mencabar itu seperti tilam, bantal, selimut, sistem solar, bungkusan simen, peralatan dapur seperti periuk, kuali, pinggan dan mangkuk, selain set komputer dan tikar getah.

"Kesemua sukarelawan berkumpul di Batu 32, Jalan Penampang-Tambunan, atau lebih dikenali sebagai Gunung Emas terlebih dahulu, sebelum misi pendakian amal dan merentas hutan dimulakan," kata Harry kepada pemberita yang menyertai pendakian amal tersebut.

Pemuda berumur 39 tahun itu berkata, program pendakian itu tercetus selepas beliau buntu mahu membawa kesemua barangan itu ke tempat dia mengajar, berikutan lokasi yang jauh di pedalaman (kira-kira 70 kilometer dari Penampang) serta laluan yang berhutan dan tidak boleh dilalui kenderaan darat.

Harry kemudiannya mengajak rakan-rakan pendaki menyertainya menerusi aplikasi WhatsApp, dan tidak menyangka mendapat sambutan menggalakkan, sehingga menerima penyertaan 100 sukarelawan.

Sementara itu, Siscariell yang juga pengarah program itu berkata, beliau terinspirasi untuk menjayakan ekspedisi itu selepas melihat video Harry sebelum ini, yang memikul sebuah peti sejuk seberat 40 kilogram ke sekolah berkenaan yang tular di media sosial.

Keprihatinan dan dedikasi Harry itu mendapat penghargaan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan menerima anugerah Adiwira, sempena sambutan Hari Guru peringkat negeri baru-baru ini.

Guru Besar SK Longkogungan Sunny Yong Ken Vun, turut menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada semua sukarelawan yang terlibat dalam ekspedisi itu, dan sanggup menempuh perjalanan jauh serta mencabar sambil memikul barang-barang tersebut.

SK Longkogungan merupakan antara sekolah kurang murid di Penampang, yang hanya mempunyai 11 murid dan tujuh guru.