Lelaki yang mendakwa dirinya anggota kumpulan pengganas Daish dan membawa bom ke Kementerian Pertahanan (Kementah) Januari lepas akan mengemukakan surat representasi ke Jabatan Peguam Negara
supaya pertuduhan terhadapnya ditarik balik.

Peguam Shamsul Sulaiman ketika memaklumkan perkara tersebut kepada Majistret Husna Dzulkifly, memberitahu berdasarkan laporan pemeriksaan kesihatan mental dari Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, anak guamnya, Muhammad Hudzaifah Shubli Yasin, 30, didapati menghidap sejenis penyakit mental iaitu bipolar mood disorder.

"Berdasarkan laporan, ketika kejadian, Muhammad Hudzaifah Shubli adalah dalam keadaan tidak waras, tidak sedar serta tidak tahu sebab dan akibat daripada perbuatannya itu.

"Simpton awal penyakit itu mula dikenal pasti pada 2006. Kemudian pada 2008, dia disahkan menghidap bipolar mood disorder," katanya sambil memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan menghantar surat itu sebelum 22 Mac.

Pada 22 Januari lepas, bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan melakukan ugutan jenayah dengan niat menyebabkan ketakutan apabila memberitahu kepada seorang anggota tentera bahawa dia membawa bom di pintu pos pengawal Kem Kementah, Jalan Padang Tembak, Wangsa Maju, pada 8.10 malam 20 Januari lepas.

Muhammad Hudzaifah Shubli yang juga calon bagi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) 2012 di UIA‎, didakwa di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zikri Jaafar tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh yang ditahan di Penjara Sungai Buloh, atas alasan pertuduhan di bawah seksyen itu tidak membenarkan sebarang jaminan bagaimanapun ia bergantung kepada budi bicara mahkamah.

Shamsul memohon mahkamah mempertimbangkan jaminan dengan alasan keadaan di penjara dikhuatiri akan membuatkan penyakit anak guamnya akan menjadi semakin teruk.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 22 Mac ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.