Lelaki yang ditahan reman selama dua hari untuk membantu siasatan kes tiga kanak-kanak lelaki berpaut pada bumbung kereta dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Ismail Dollah berkata pembebasan itu adalah sementara menunggu pegawai penyiasat melengkapkan kertas siasatan.

"Kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Johor untuk arahan lanjut, sebaik sahaja kertas siasatan ini dilengkapkan dalam masa terdekat," kata beliau ketika dihubungi di sini.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

Semalam, lelaki berusia 49 tahun dan dipercayai pemandu kereta Toyota Vios yang membawa tiga kanak-kanak berkenaan di but kereta ditahan di rumahnya di Taman Nusa Damai dekat Pasir Gudang.




BACA: Polis kesan individu pandu kereta, dua kanak-kanak meniarap pada cermin belakang

Ia susulan rakaman video yang menunjukkan aksi kanak-kanak itu tersebar luas di media sosial.

Seorang daripada kanak-kanak berusia antara 10 dan 12 tahun adalah anak kepada pemandu Toyota Vios itu.

-- BERNAMA