Seorang lelaki maut manakala isteri dan tiga anaknya cedera parah selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang di rumah mereka di Kampung Narandang, Kudat, petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Kudat Supt Douglas Nyeging Taong yang mengesahkan kejadian itu berkata suspek yang melarikan diri selepas kejadian berjaya ditangkap oleh penduduk kampung.

"Saya difahamkan lelaki itu (suspek) berjaya ditangkap oleh orang kampung, tetapi butiran penangkapan belum saya terima lagi," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam kejadian pada kira-kira 4 petang itu, katanya Jotin Yojumpin, 42, ditemukan mati di tempat kejadian dengan kesan luka parah di leher akibat diserang dengan senjata tajam disyaki parang.

"Isteri mangsa Saulin Moridik, 30, dan tiga anak mereka berumur 17, 11 dan 5 tahun yang cedera parah kini dirawat di Hospital Kudat," katanya.

Beliau berkata punca kejadian dipercayai pergaduhan berpunca daripada perselisihan faham.

-- BERNAMA