Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak membantu membiayai kos pengajian kedua-dua anak beliau selepas kematian suami pada 2013.

Manisah Othman, 55, seorang perangkawan di Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, arwah suaminya Amiruddin Mohd Baria, pernah berkhidmat dengan bekas perdana menteri itu sewaktu dia menjadi Menteri Pelajaran (1995-2000) dan Timbalan Perdana Menteri (2004-2009).

Selain itu, Manisah berkata, suaminya sempat berkhidmat dengan Najib yang ketika itu Perdana Menteri sebelum meninggal pada 2013 akibat kanser usus peringkat ke-empat.

"Sewaktu arwah suami saya terlantar di hospital, Datuk Seri Najib sempat melawat beberapa kali dan berjanji akan membantu membiayai kos pengajian kedua-dua anak saya," katanya ketika memberi keterangan sebagai saksi ke-12 pendakwaan, di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini.

Pada minggu lepas, pihak pendakwaan telah membuktikan Manisah menerima cek bernilai RM13,800 dari sebuah akaun bank AmBank dipercayai milik Najib pada Februari 2015.

Wanita itu mengaku beliau menerima wang tersebut dan menggunakannya untuk membiayai kos pengajian anak-anaknya.

Selain itu, Manisah turut mengaku menerima dua lagi cek iaitu sebanyak RM9,360 pada 2013, dan RM29,520 pada 2014, dari Najib.

Menurut wanita itu, berdasarkan bantuan yang dihulurkan itu, Najib merupakan seorang yang memegang pada janji.

Sementara itu, saksi ke-lapan pendakwaan Daud Mohammad, 53, kontraktor binaan dari Syadilah Enterprise telah menerima bayaran sebanyak RM77,300 bagi kerja pembinaan dua buah tangki air berkapasiti 1,500 liter dan 3,000 liter di kediaman Najib di Pekan, Pahang pada 2015.

Selain itu, beliau berkata, bayaran tersebut juga untuk penyelenggaraan dan penggantian alat penghawa dingin serta kerja membaik pulih tombol pintu dan sinki di kediaman yang dikenali sebagai Seri Kenangan itu.

Ketika disoal balas peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, sama ada kerja-kerja membina tangki air itu satu keperluan atau kemewahan, Daud menjawab ia merupakan keperluan memandangkan kediaman tersebut bukan bersifat peribadi tetapi juga menjadi pusat khidmat Najib selaku Ahli Parlimen Pekan.

Difahamkan, penduduk Pekan menganggap kediaman itu sebagai 'klinik' ketika Najib pulang ke kawasan, kerana ia memudahkan mereka untuk mendapat khidmat dan bantuan.

Daud berkata, kediaman itu juga sering menjadi tempat keramaian dan majlis seperti anak-anak yatim, dan pelajar tahfiz membaca Yassin, selain majlis politik serta rumah terbuka sewaktu Hari Raya Puasa, Hari Raya Korban dan perayaan lain-lain agama.