Kelewatan pelantikan menteri besar Selangor adalah disebabkan pergolakan dalaman PKR dan ketidaksefahaman parti dalam Pakatan Rakyat dalam pencalonan menteri besar.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, keengganan DAP dan PKR mematuhi arahan Istana pada 27 Ogos untuk mencalonkan lebih dua nama, menyulitkan lagi tindakan Sultan sehingga terpaksa meneliti calon lain dalam parti itu yang tidak dicalonkan.

Menurutnya, Azmin dipilih kerana Sultan mempertimbangkan konsensus Pakatan Rakyat mengenai kerusi menteri besar di Selangor dan percaya beliau pilihan terbaik untuk mendapat sokongan semua parti.

"Adalah menjadi amalan Sultan Selangor untuk tidak melengahkan perlantikan seorang Menteri Besar yang merupakan satu jawatan yang amat penting di dalam Kerajaan Negeri Selangor. Namun kelewatan perlantikan Menteri Besar Selangor pada kali ini adalah disebabkan pergolakan dalaman parti Keadilan Rakyat (Keadilan) serta ketidaksefahaman parti-parti dalam Pakatan Rakyat dalam isu pencalonan Menteri Besar.

Di samping itu keengganan parti-parti DAP dan Keadilan mematuhi surat daripada istana bertarikh 27 Ogos 2014 menyulitkan lagi tindakan D.Y.M.M Sultan Selangor yang terpaksa meneliti calon-calon lain dalam parti Keadilan yang tidak dicalonkan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.



Baca kenyataan akhbar penuh Istana Selangor mengenai pelantikan Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor - Gambar Astro AWANI

Kenyataan tersebut juga menyatakan Azmin, yang dilahirkan di Singapura telah bermastautin dan dibesarkan di Hulu Kelang, Gombak sejak tahun 1968.

Azmin pada Isnin mengesahkan pelantikannya sebagai Menteri Besar Selangor yang ke-15 berkuatkuasa hari ini selepas Istiadat Angkat Sumpah dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan di Istana Alam Shah, Klang.

Tambah kenyataan itu lagi, Sultan Selangor juga telah mengambil maklum bahawa Kerajaan Negeri Selangor dibentuk melalui kesepakatan tiga komponen dari parti PAS, Keadilan dan DAP.

"Baginda juga mengambil maklum kesefahaman di antara tiga parti tersebut bahawa Menteri Besar Selangor perlu dilantik di kalangan ADUN dari parti Keadilan untuk mendapat kepercayaan majoriti dan sokongan dari parti-parti Pakatan Rakyat di Dewan Negeri Selangor.

"Azmin juga merupakan Timbalan Presiden parti Keadilan dan oleh itu Sultan Selangor mempunyai keyakinan bahawa sebagai seorang Timbalan Presiden yang dipilih pastinya mempunyai sokongan padu bukan sahaja dari parti Keadilan malah dari parti-parti PAS dan DAP yang membentuk kerajaan gabungan (coalition government) untuk mentadbir Kerajaan Negeri Selangor sekarang," ujar kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu, Sultan Selangor turut berharap Azmin dapat menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab, jujur dan ikhlas dengan integriti yang tinggi dan akan sentiasa mendahului kepentingan rakyat dan Negeri Selangor di dalam pentadbirannya.