Sekumpulan lima lelaki bersenjata yang dipercayai cuba menyusup masuk ke perairan Pulau Mataking, di sini, berjaya diberkas pasukan Angkatan Tugas Bersama (ATB) Dua, pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 pagi, semua suspek yang berumur antara 25 hingga 45 tahun itu ditahan bersama sepucuk pistol dan selaras senapang.

Turut ditemui, 55 butir peluru senjata api berkenaan.

Komander ATB Dua, Brigedier Jeneral Datuk Zarondin Md Amin berkata, bot dipercayai datang dari perairan Sitangkai, Filipina, menuju ke Pulau Mataking sebelum berjaya dikesan oleh radar.

"Sebaik dikesan, anggota bertugas kemudian berjaya memintas dan menjalankan pemeriksaan lanjut.

"Ketika diperiksa, semua mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

"Sepucuk pistol, selaras senapang dan 55 butir peluru turut ditemui bersama mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Zarondin berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan suspek masuk menyusup ke Malaysia untuk melakukan kegiatan jenayah rentas sempadan.

"Semua suspek ditahan dan senjata api milik mereka dirampas sebelum diserahkan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna untuk tindakan lanjut," tambahnya.