Sarawak akan menubuhkan mahkamah bergerak bagi membolehkan proses perundangan dilakukan di kawasan pedalaman negeri itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, bagi tujuan itu, beliau telah meluluskan pembelian empat kenderaan pacuan empat roda yang akan digunakan Jabatan Mahkamah Negeri Sarawak dalam menangani kes-kes penghakiman di seluruh negeri.

"Saya telah meluluskan permintaan mahkamah untuk mendapatkan kenderaan tambahan bagi mereka untuk melaksanakan mahkamah bergerak.

"Selain itu, kementerian saya juga ingin melihat naik taraf proses Transkripsi Rakaman Mahkamah (CRT) dan gembira kerana mahkamah ini dijaga dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Mahkamah Kuching bagi melihat perkembangan serta perkara yang diperlukan para hakim semasa mengendalikan kes di mahkamah.