Buat julung kalinya Malaysia terpilih menjadi tuan rumah untuk menganjurkan majlis anugerah peringkat antarabangsa iaitu Anugerah Seni Bina Masjid Abdullatif Alfozan (AFAMA 2019) dan Persidangan Antarabangsa Seni Bina Masjid (ICMA 2019) yang bertempat di Muzium Kesenian Islam Malaysia, di sini.

Program ini merupakan anjuran kali kedua hasil kerjasama antara Kerajaan Arab Saudi dan Malaysia menerusi Kulliyyah of Architecture and Enviromental Design (KAED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Program persidangan akan bermula pada 25 November 2019 hingga 27 November 2019 manakala pameran Anugerah Seni Bina Masjid Abdullatif Alfozan (PAMERAN MAQAMAT) pula bakal berlangsung selama lebih dua bulan iaitu bermula dari 25 November 2019 hingga 31 Januari 2020.

Setiausaha Agung AFAMA 2019, Prof. Mashary Abdullah AlNaim berkata, objektif anugerah itu diadakan adalah bertujuan untuk mempertimbangkan pembangunan seni bina masjid.

“Di samping itu, anugerah ini turut mengetengahkan syarat-syarat penilaian maklumat seni bina dan teknikal yang boleh membantu ke arah pembangunan masjid di seluruh dunia.

“Selain itu, anugerah ini secara tidak langsung akan menghasilkan penyelesaian seni bina yang artistik serta lestari,” katanya di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Jawatankuasa Eksekutif Anugerah ini telah mengadakan pertemuan dengan Master Juri Antarabangsa bagi membuat pemilihan pemenang yang dianggotai tujuh aspek utama.

“Empat daripadanya ialah arkitek antarabangsa, ahli seni visual, pakar sains sosial dan pakar kemanusiaan dan akhirnya ahli sejarah.

“Kriteria yang ditetapkan juri dalam pemilihan ini berdasarkan kepada setiap bangunan yang dibina perlu memenuhi reka bentuk seni bina yang berpengalaman, berpengetahuan tentang budaya Islam, seni dan kesusasteraan,” ujarnya.

Majlis perasmian yang diadakan pada 25 November 2019 ini akan disempurnakan oleh Putera Sultan Salman Abdulaziz Al Saud yang merupakan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Seni Bina Masjid Abdullatif AlFozan merangkap Presiden Suruhanjaya Angkasa Saudi.

Setiausaha Agung AFAMA 2019, Prof. Mashary Abdullah AlNaim berkata, objektif anugerah ini diadakan adalah bertujuan untuk mempertimbangkan pembangunan seni bina masjid.

Yang turut hadir dalam majlis perasmian itu adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid bin Yusof serta beberapa anggota juri yang terdiri daripada Putera Sultan Fahad Al-Saud, pakar seni visual, Taleb Al Rifai, mantan Menteri Pelancongan dan Antikuiti Jordan merangkap Setiausaha Agung Pertubuhan Pelancongan Dunia di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNWTO), Duta Arab Saudi di Malaysia, Mahmoud Hussien Qattan da nbeberapa anggota kenamaan lain.

Untuk rekod, AFAMA yang ditubuhkan pada tahun 2011 merupakan upacara penghargaan tiga tahun sekali dalam mengiktiraf dan menghargai seni bina masjid yang menyasarkan kepada aspek seni bina, bandar, dan teknikal masjid di seluruh dunia sekali gus penganugerahan itu akan diberikan kepada pereka atau arkitek yang berkaitan.