Tutup

Mangsa banjir Kampung Misa di Parit semua lelaki

Mangsa banjir Kampung Misa di Parit semua lelaki
Kampung Misa adalah sebuah pulau penempatan khas Kumpulan Dendang Anak yang sering membuat persembahan kebudayaan. Foto ihsan APM
PARIT: Kesemua 41 mangsa banjir di Kampung Misa, Teluk Kepayang, di sini, terdiri daripada golongan lelaki.

Berdasarkan maklumat yang disalurkan jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak, mangsa terdiri daripada 38 lelaki dewasa dan tiga kanak-kanak lelaki.

Kesemua mereka ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Teluk Kepayang yang dibuka pukul 10 malam tadi.

Bunyinya mungkin pelik bagi mereka yang baru mendengar nama Kampung Misa dan tidak mengetahui latar belakang kampung tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Khairul Shahril Mohamed berkata, Kampung Misa adalah sebuah pulau penempatan khas Kumpulan Dendang Anak yang sering membuat persembahan kebudayaan.

“Memang penempatan ini tiada perempuan. Penghuni di pulau ini ada yang bujang dan ada yang sudah berkahwin, tetapi isteri mereka tinggal di tempat lain,” katanya.
Menurutnya penempatan khas itu telah wujud lebih 10 tahun lalu dan mereka mengekalkan cara hidup Melayu lama, khususnya cara berpakaian.

Laporan mengenai kampung tersebut pernah disiarkan pada Ogos tahun lalu.

BACA: Pulau Misa Melayu di Bota wajar jadi pusat kebudayaan