Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menumpaskan rompakan lanun ke atas Kapal MT MGT1 dalam operasi sailang di jarak 3 Batu Nautika Timur Pulau Yu Besar di perairan Terengganu pagi tadi.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Indera Zulkifili bin Abu Bakar berkata, sepuluh perompak warganegara Indonesia berjaya ditangkap di atas kapal berkenaan bersama sebuah kapal tanpa nama.

"Bagaimanapun, tiga perompak telah berjaya melarikan diri dengan menggunakan bot pancung yang digunakan semasa merompak MT MGT 1 ketika menyedari kehadiran Pasukan Tindakan Khas, KM SEGANTANG telah diarahkan untuk mengesan dan mencari bot bersama tiga orang perompak di sekitar kawasan kejadian untuk ditangkap," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semua 14 anak kapal MT MGT 1 warganegara Thailand termasuk Pasukan Tindakan Khas berada keadaan selamat.

Pihaknya menerima maklumat sebuah kapal Dagang MT Tanker MGT1 berasal dari Thailand berdasarkan bendera yang dipasang, bersama dengan 14 orang kru warganegara Thailand.

Ia dilaporkan hilang dari Auto Identifikasi System (AIS) pada jam 5 petang semalam.

Berdasarkan maklumat tersebut, Pasukan Tindakan Khas (PTK) telah digerakkan ke lokasi terakhir kapal dikesan menggunakan pesawat AW 139.

"Pada 7 September 2017 jam lebih kurang 2.05 pagi kapal telah dikesan pada jarak lebih kurang 37 Batu Nautika Timur Laut Pulau Tenggol oleh pesawat udara APMM. PTK telah melakukan Force 1 Boarding dengan menggunakan teknik Fast Roping," katanya.

Menurutnya, maklumat awal yang diterima hasil pemerhatian pesawat udara mendapati sebuah bot pancung dan sebuah kapal di tempat kejadian.

"Kelihatan tiga suspek di dalam bot pancung. Maklumat daripada PTK melaporkan terdapat 10 suspek berada di dalam kapal. Beberapa das tembakan amaran telah dilepaskan dari pesawat udara apabila menyedari bot pancung cuba melarikan diri," ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, usaha mengawal bot pancung tidak dapat diteruskan pesawat udara APMM berikutan kekangan bahan bakar yang terhad memaksa keputusan berpatah balik ke Kuantan dilakukan.

"POMAR telah mengarahkan KM SEGANTANG untuk melaksanakan pencarian terhadap bot pancung yang berjaya melarikan diri manakala KM LANGKAWI ditugaskan untuk mengiringi MT MGT 1 ke Kuala Terengganu untuk serahan kepada Unit Siasatan dan Forensik APMM," tambahnya.

Semua kapal akan diiringi ke DM 9 Kuala Terengganu ( 70 BN ) untuk laporan polis dan siasatan lanjut.