Hasil laporan penuh siasatan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan berhubung insiden pelajar maut terkena bilah mesin pemotong rumput di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman, Gemas, Negeri Sembilan pada 13 Februari lalu, mendapati wujud unsur kecuaian.

Jelas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, pihak Kementerian Pendidikan mendapati ada unsur kecuaian di pihak kontraktor pembersihan dan pengurusan sehingga berlakunya kemalangan itu.

'Kita telah membaca laporan itu. Laporan tu mengesahkan ada kecuaian di pihak kontraktor dan juga di pihak pengurusan sekolah.

"Tindakan susulan sedang diambil, kes yang melibatkan polis pula kita serahkan pada polis. Kes yang melibatkan tindakan dalaman itu kita ikut peraturan yang sedia ada," katanya selepas merasmikan Karnival Jualan Sentuhan Rakyat dan program bersama Usahawan Mikro Amanah Ikhtiar di Pusat Komuniti Cikgu Hashim, di Kuala Nerang, siang tadi.

BACA: Pemandu traktor bakal hadapi tiga pertuduhan

BACA: Tragedi Nur Afini: Saya redakan walaupun berat hati - bapa

Dalam kejadian 13 Februari lalu, mangsa Nur Afini Roslan, 14 tahun pelajar Tingkatan 2 SMK Tuanku Abdul Rahman, Gemas itu maut selepas bilah mesin pemotong rumput terpelanting lalu mengenai kepalanya sehingga terputus.


Kejadian itu juga mengakibatkan dua lagi pelajar Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13 tahun cedera di bahagian belakang kepala dan Abdullah Hazlan, 14 tahun cedera pada bahagian telinga kanan.

Kejadian jam 10.30 pagi itu, berlaku di padang sekolah ketika mangsa dan rakan yang lain sedang menjalani latihan perbarisan untuk program hari sukan sekolah.