Mayat dua mangsa yang hilang ketika mencari kepah dan tiram di sekitar kawasan berlumpur di Sungai Tapang, Gate 7, semalam, ditemui pagi tadi.

Mayat Khairul Lizam Zulkifli, 11 tahun, pelajar Sekolah Kebangsaan Kelaboran, Tumpat, ditemui jam 10.35 pagi manakala mayat Mohd Faiz Haikal Mohd Firdaus, 8 tahun, pelajar tahun dua Sekolah Kebangsaan Sri Tumpat 1 ditemui jam 8 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Penolong Penguasa Bomba, Bustan Karuddin ketika dihubungi memaklumkan kedua-dua mangsa ditemui sekitar 500 meter dari kawasan mereka hilang.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke hospital tumpat untuk bedah siasat.

Semalam, empat sekawan dikatakan mencari kepah dan tiram di sungai berkenaan.

Namun dua dari mereka hilang manakala dua lagi selamat.

Mangsa yang selamat dikenali sebagai Mohd Aiman Masoho, 10, dan Fairuz Ikhwan Abdullah, 10.

Mereka dikatakan turun tengahari semalam dengan tujuan mencari kepah dan tiram yang mulai muncul di kawasan ini.

Namun mereka tidak menyedari bahawa kawasan sungai yang bersambung dengan laut ini mempunyai lumpur jerlus dan struktur dasarnya yang curam.