Mayat lelaki warga asing ditemui terapung di muara sungai Telaga Harbour, Pantai Kok di sini pada petang Jumaat.

Mangsa berusia dalam lingkungan 50an dengan ketinggian 193 sentimeter itu ditemui orang awam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Che Ghazali Che Awang yang dihubungi memaklumkan, mayat berkenaan dihantar polis marin ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada tengah hari Sabtu untuk bedah siasat.

Jelasnya, mayat itu ditemui terlentang di atas permukaan air kira-kira 3.40 petang Jumaat dan berkemungkinan mangsa berada di dalam air lebih 24 jam berdasarkan keadaan badan mayat.

Katanya, berdasarkan ukuran ketinggian, mayat dipercayai warga asing.

Ujarnya, polis kini sedang menyemak laporan mengenai orang hilang bagi mengenalpasti identiti mangsa.

Sehubungan itu, Che Ghazali meminta orang awam yang mengetahui kejadian atau pun kehilangan ahli keluarga untuk menghubungi balai polis terdekat.