Zakat Melaka mewujudkan dua kaedah pembayaran zakat fitrah tahun ini, iaitu secara dalam talian atau menghubungi amil kariah, bagi memudahkan pembayar menunaikan kewajipan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka Datuk Ibrahim Fadzil berkata, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) bersetuju menetapkan kadar zakat fitrah bagi negeri itu tahun ini pada kadar RM7 dan RM14, berdasarkan jenis beras yang dimakan di rumah masing-masing.

"Pembayaran Zakat Fitrah boleh dilaksanakan dalam talian di laman rasmi Zakat Melaka iaitu www.izakat.com atau bagi masyarakat Islam yang kurang mahir dalam penggunaan teknologi, mereka boleh menghubungi amil kariah yang dilantik berkunjung ke rumah mengutip zakat fitrah, pada Ramadan ini.

"Setakat ini seramai 994 amil kariah dilantik dan mereka akan disediakan kad kuasa untuk berkunjung ke rumah pembayar zakat fitrah, dengan mengutamakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Untuk pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Zakat Melaka di talian 1-300-88-0233 atau mengikuti perkembangan terkini di laman rasmi aplikasi Facebook dan Twitter Zakat Melaka.

-- BERNAMA