NATIONAL
Membebankan! Itu keluhan warga kota hari pertama pelaksanaan kadar tol baharu

Tinjauan di sebuah kompleks tol mendapati orang ramai melahirkan rasa kesal dengan kenaikan kadar tol yang dianggap membebankankan. -Gambar fail
Hari pertama pelaksanaan kadar baharu tol di 18 lebuh raya seluruh negara menyaksikan rungutan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengguna lebuh raya.
Tinjauan Astro AWANI di sebuah kompleks tol di ibu negara mendapati orang ramai melahirkan rasa kesal dengan kenaikan kadar tol yang disifatkan sebagai membebankan mereka.
Dalam perkembangan sama, satu demonstrasi anjuran Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) Selangor telah diadakan di Plaza Tol Sunway dekat Lebuhraya Damansara-Puchong pada Rabu malam.
Kira-kira 50 peserta membawa sepanduk bantahan dan juga mengajak pengguna lebuh raya di kawasan sekitar membunyikan hon sebagai tanda protes.
Sehubungan itu, kerajaan negeri telah memanggil Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad yang masing-masing memiliki 30 peratus saham dalam syarikat konsesi Lebuhraya KESAS dan 20 peratus dalam syarikat konsesi Lebuhraya SPRINT, untuk memberi penjelasan.
Pada Isnin, 18 syarikat konsesi lebuh raya mengumumkan akan mengenakan kadar baharu bagi laluan tol, dengan kenaikan di antara 10 sen hingga RM3 bermula 15 Oktober.
Kadar baharu ini melibatkan Lebuhraya Lingkaran Kajang (SILK), Lebuhraya SMART, Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Bertingkat Ampang Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Penyuraian Trafik KL-Barat (SPRINT), Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS), Lebuhraya Cheras-Kajang (CKE/Grand Saga), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB).

tol
Kementerian Kerja Raya dalam satu kenyataan pada Isnin berkata penyelarasan kadar tol itu hanya melibatkan lebuh raya dalam bandar dan tidak melibatkan lebuh raya antara bandar.
Kenyataan itu menyebut bahawa kadar tol untuk bas akan kekal seperti mana sekarang dalam usaha untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, terutamanya bas.
Ada yang berpendapat tindakan menaikkan kadar tol ini adalah tidak wajar kerana rakyat sudah dibebani dengan kenaikan harga minyak serta barangan lain, namun tidak kurang juga yang menyokongnya sebagai langkah meningkatkan pendapatan kerajaan.
Menurut Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Dr Maamor Osman berkata kenaikan kadar tol itu perlu ditangguhkan kerana dalam keadaan ekonomi semasa, walau sekecil manapun kenaikan, akan memberi kesan psikologi cukup besar kepada pengguna.
Selain itu beliau tidak menolak kemungkinan ia akan menyebabkan berlaku kenaikan harga barang keperluan dalam masa terdekat.
Saranan sama turut disuarakan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna (FOMCA) yang berpendapat bahawa kerajaan harus terlebih dahulu memberi perhatian kepada peningkatan perkhidmatan pengangkutan awam sebelum menaikkan kadar tol.
Menurut Setiausaha Agungnya Datuk Paul Selva Raj, rakyat mahukan kualiti hidup yang lebih baik pasca pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), bukannya beban tambahan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami