Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan pemilihan Menteri Pendidikan yang baharu akan dilantik dari kalangan ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Tegasnya, beliau akan segera melepaskan jawatan Menteri Pendidikan yang dipangkunya ketika ini sebaik sahaja mendapat calon terbaik untuk memikul jawatan tersebut.

Tambahnya, proses bagi mencari pengganti bagi jawatan itu digambarkan tidak akan melalui proses yang melibatkan rombakan Kabinet.

Menurut beliau, pihaknya sentiasa bersedia untuk menerima sebarang tindakan melepaskan jawatan oleh menteri-menteri yang lain seperti yang dilakukan Dr Maszlee Malik.

BACA: Tun Mahathir pangku jawatan Menteri Pendidikan

BACA: 'Atas nasihat Ayahanda Tun M, saya letak jawatan Menteri Pendidikan' - Maszlee

"Saya (akan lepaskan jawatan) secepat mungkin, apabila saya dapat satu orang yang ambil alih, saya akan lepaskan jawatan itu.

“Saya cuma sementara sahaja, biasanya terdiri daripada pemimpin parti Bersatu. Tak tahulah pasal rombakan kabinet, tapi yang tentu mesti ada Menteri Pendidikan yang baru. Yang lain tak tahulah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penutupan dan penyampaian hadian sempena majlis penutup Kejohanan Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) 2020 edisi ke-18 hari ini.


Pada Jumaat, Pejabat Perdana Menteri melalui satu kenyataan media mengesahkan Dr Mahathir memangku jawatan Menteri Pendidikan berkuatkuasa 3 Januari lalu, seperti yang diputuskan Jemaah Menteri dalam Mesyuarat Kabinet, pada Rabu lalu (8 Jan).

Terdahulu, Dr Maszlee mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan berkuatkuasa 3 Januari 2020 selepas 20 bulan memikul jawatan terbabit.