Pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia atau Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman, hari ini tampil dengan kenyataan menafikan dakwaan bahawa penerbangan MH370 mungkin 'diambil alih' dari jauh dalam cubaan untuk menggagalkan rampasan pesawat Malaysia Airlines itu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini yang menghidupkan kembali satu daripada teori konspirasi berhubung kehilangan misteri pesawat itu.

Azharuddin yang Ketua Pasukan Respon MH370 menyifatkan kenyataan berkenaan sebagai teori tidak berasas.

"Tuduhan sedemikian pastinya akan memberi kesan dan mendatangkan tekanan kepada waris dan keluarga mangsa tragedi ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar beliau, kerajaan sentiasa komited dalam misi pencarian MH370 dan pencarian kini diteruskan oleh Ocean Infinity untuk mencari bangkai pesawat.

Tegas, Azharuddin selagi tiada bukti kukuh daripada bangkai mahupun kotak hitam pesawat, adalah tidak wajar bagi sesiapa membuat kesimpulan berdasarkan teori konspirasi tidak berasas.

Ia sekaligus menjejaskan usaha yang dilakukan pasukan pakar dan profesional yang telah menghabiskan masa lebih dari empat tahun dalam misi pencarian itu.

"Doa kami adalah bersama waris dan keluarga terdekat mangsa MH370. Kita patut meletakkan kepentingan dan perasaan waris agar tidak mereka tidak kecewa berdasarkan spekulasi-spekulas liar ini," katanya lagi.

Dr Mahathir dalam satu wawancara dengan akhbar The Australian sebelum ini memberitahu pesawat itu mungkin dikawal dari jauh.

Beliau juga tidak percaya kerajaan terbabit dalam menyembunyikan kehilangan misteri pesawat itu.

Pesawat MH370 dengan 239 penumpang dan anak kapal hilang pada 8 Mac 2014 ketika melakukan penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing.

Kenyataan media Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) berhubung dakwaan Tun Dr Mahathir.