Tutup

MH370: Kemuka kertas cadangan pencarian dengan segera - Waris

MH370: Kemuka kertas cadangan pencarian dengan segera - Waris
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, pada Ahad lalu berkata kerajaan bersedia memulakan semula pencarian pesawat MH370. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Susulan kesediaan kerajaan untuk meneruskan pencarian pesawat MH370, ahli keluarga nahas meminta penyiasat bebas tampil dengan kertas cadangan mereka dengan kadar segera.

Menurut Jacquita Gonzales, 56, ini adalah supaya kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan tersebut dalam usaha merungkai misteri kehilangan pesawat yang hilang sejak 8 Mac 2014 itu.

“Saya menggesa penyiasat-penyiasat bebas untuk tampil menghantar kertas cadangan dengan segera tanpa membuang masa. Saya yakin kerajaan akan mempertimbangkan sebarang cadangan dan tidak akan menolak kesemuanya.

"Hal ini kerana, kerajaan tidak akan mengalami apa- apa kerugian melalui dasar 'tidak jumpa, tiada bayaran' (no cure no fee basis) terutamanya atas usaha yang dilakukan oleh Ocean Infinity Limited (syarikat penerokaan dasar laut dari Amerika Syarikat),” katanya.

BACA: Ocean Infinity tamatkan pencarian MH370 tanpa sebarang penemuan
BACA: Saya guna duit sendiri cari serpihan MH370 di Mozambique dan Madagascar'

Jacquita merupakan isteri kepada penyelia pesawat MH370, Patrick Gomes, yang turut menjadi mangsa dalam nahas tersebut.

Katanya, pencarian semula ini bukan hanya untuk ahli keluarga nahas, malah untuk seluruh rakyat Malaysia.

Jelasnya, pencarian ini penting agar punca nahas dapat dikenal pasti bagi mengelak perkara seperti ini berulang dan penumpang akan berasa selamat setiap kali menaiki pesawat.
BACA: 5 tahun hilangnya MH370: Muhammad sayang dan rindu Papa...

Seorang lagi anggota keluarga mangsa, Grace Subathirai Nathan, 31, berkata dia yakin akan ada pihak yang mampu menyahut cabaran untuk mencari pesawat tersebut.

“Saya yakin untuk pencarian seterusnya dilakukan, pasukan pencari akan lebih bersedia dengan wujudnya peralatan yang berteknologi canggih dan mempunyai maklumat yang cukup berdasarkan pencarian yang lalu.

"Kali ini, saya percaya pasukan pencari dapat memenuhi kriteria yang ditetapkan seperti yang diutarakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke,” ujar anak kepada pramugari Anne Daisy itu.


Kedua-dua waris ketika dihubungi menyatakan rasa syukur dan gembira dengan kenyataan yang diberikan oleh Anthony semasa Majlis Memperingati Tragedi MH370.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, pada Ahad lalu berkata kerajaan bersedia memulakan semula pencarian pesawat MH370.

Katanya, pencarian tersebut akan dilakukan jika terdapat cadangan dan petunjuk baru dari mana mana pihak terutamanya syarikat teknologi Amerika Syarikat Ocean Infinity.


Tag: MH370, Jacquita Gonzales, anthony loke, menteri pengangkutan, Grace Subathirai Nathan, pencarian pesawat MH370, Majlis Memperingati Tragedi MH370, Anthony Loke Siew Fook, Ocean Infinity


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.