Kerajaan Malaysia tetap komited untuk menambah lagi 60,000 kilometer persegi kawasan pencarian sekiranya fasa pertama pencarian pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 di zon seluas 60,000km persegi di selatan Lautan Hindi ketika ini tidak menemui sebarang petunjuk.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata tiada perubahan akan dilakukan dalam usaha mencari pesawat MH370 ini.

“Seperti yang diumumkan dalam Mesyuarat Tiga Pihak peringkat Menteri antara ketiga-tiga negara ini di Kuala Lumpur tahun ini, Malaysia, Australia dan China telah membuat keputusan bersama untuk meluaskan lagi kawasan pencarian kepada 60,000 kilometer persegi jika pesawat itu masih tidak dijumpai lagi dalam kawasan pencarian ketika ini.

“Kawasan pencarian MH370 telah meliputi lebih 52,000km persegi sehingga kini. Kedua-dua kapal Fugro Equator dan Fugro Discovery akan digunakan untuk fasa kedua pencarian apabila selesai kawasan pencarian ketika ini telah meliputi 60,000km persegi.

“Seperti yang diumumkan Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC), kontrak bersama GO Phoenix akan ditamatkan apabila obligasi kontrak mereka dipenuhi dalam fasa pertama usaha pencarian,” jelas beliau dalam satu kenyataan pada Khamis.

BACA: MH370: Kawasan carian mungkin berganda menjadi 120,000km persegi

BACA: Mesyuarat tiga pihak MH370 di Kuala Lumpur pada Khamis


BACA: MH370: Liow nafi laporan JACC, kawasan pencarian tidak diperluas


Kata beliau, operasi pencarian untuk beberapa minggu hadapan akan memberi tumpuan di selatan kawasan pencarian sebelum cuaca buruk dijangkakan berlaku semasa musim sejuk.

“Kapal Fugro Equator dan Fugro Discovery telah pun melakukan proses 'winterisation' sebagai langkah efektif operasi pencarian pada musim sejuk. Keselamatan kru pencarian tetap menjadi keutamaan, terutama pada musim sejuk.

“Pasukan mencari dan menyelamat menghadapi rintangan yang sukar ketika operasi di mana ketika ini mereka berada di kawasan terpencil yang mempunyai ombak dan keadaan cuaca yang buruk yang mempunyai kedalam 6,000 meter. Ketinggian ombak juga pernah mencatatkan ketinggian sehingga 15 hingga 18 meter.

“Ia menjadi satu cabaran bagi pasukan ini dan kami menghargai segala usala yang diberikan,” tambah beliau.

Liow bagaimanapun menegaskan Malaysia tetap komited untuk menambah meluaskan kawasan carian sebanyak 60,000 kilometer persegi.

Sehingga ini, Malaysia telah membelanjakan lebih AUD$60 juta (RM 174 juta) untuk usaha mencari dan menyelamat pesawat ini, kata menteri itu.