Tutup

Miliki kelayakan tinggi tetapi pegang jawatan rendah, CUEPACS mohon kenaikan gaji

Miliki kelayakan tinggi tetapi pegang jawatan rendah, CUEPACS mohon kenaikan gaji
Azih berkata saranan itu dilihat bersesuaian kerana ada penjawat awam sekarang memiliki kelayakan seperti diploma dan ijazah namun memegang jawatan dengan menggunakan kelayakan lebih rendah. - Gambar fail/BERNAMA
LANGKAWI: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hari ini mencadangkan supaya kerajaan menimbangkan pemberian satu kenaikan gaji tahunan kepada penjawat awam yang memiliki kelayakan tinggi namun menyandang jawatan dengan syarat pengambilan lebih rendah.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata saranan itu dilihat bersesuaian kerana ada penjawat awam sekarang memiliki kelayakan seperti diploma dan ijazah namun memegang jawatan dengan menggunakan kelayakan lebih rendah seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"CUEPACS tidak ada statistik jelas, cuma sebahagian besar pengambilan baharu sekarang memiliki kelayakan tinggi daripada kelayakan asas, kalau syarat jawatan tersebut hanya SPM tetapi penyandang sebenarnya ada diploma dan ijazah.

"Sepatutnya kerajaan menimbangkan kadar upah yang lebih baik kepada penjawat awam ini untuk menyaingi kos sara hidup pada masa sekarang. Jadi kita tuntut supaya kerajaan menimbang insentif satu kenaikan gaji sebagai tambahan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Sesi Santai Bersama Presiden CUEPACS sempena Persidangan Perwakilan Dwitahunan Kesatuan Kebangsaan Pembantu Tadbir Kesihatan Semenanjung Malaysia kali ke-14, di sini hari ini.

Sementara itu, Azih berkata CUEPACS juga melihat keperluan agar kerajaan mewujudkan sekolah pengurusan stres di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) supaya dapat menangani masalah penjawat awam tertekan semasa dalam perkhidmatan mereka.

Beliau berkata pihaknya amat terkesan dengan keadaan penjawat awam dalam beberapa agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang kadangkala terpaksa bekerja dalam keadaan tekanan.

"Situasi stres ini berlaku kerana mereka terpaksa bekerja dalam keadaan kakitangan tidak cukup, saya beri contoh di sebuah klinik di Wilayah Persekutuan hanya ada tujuh pekerja tetapi pesakit ramai setiap hari. Keadaan ini seterusnya menyebabkan kakitangan tertekan dan akhirnya mereka mempunyai kad rawatan psikiatri.

"Solusi pertama yang kita minta ialah supaya kerajaan menimbang mewujudkan sekolah pengurusan stres di INTAN. Kedua kerajaan perlu lihat struktur dan perkhidmatan agensi yang berhadapan dengan stres seperti KKM dan KPM, kakitangan tak cukup sedangkan perkhidmatan perlu diberikan," katanya.

-- BERNAMA


Tag: Azih Muda, CUEPACS, Sijil Pelajaran Malaysia, SPM, KKM, Kementerian Kesihatan, penjawat awam, Kementerian Pendidikan, Malaysia, kesihatan, presiden, pendidikan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.