Bekas koporal polis, Sirul Azhar Umar, 44 kini dipertemukan kembali dengan ibunya Piah Samad, 72 hari ini di Pusat Tahanan Imigresen Villawood Sydney selepas pihak berkuasa Australia memberikan kebenaran kepada mereka untuk bertemu selama dua jam.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Mahfuz Omar, yang juga menyertai perjumpaan itu berkata tangisan air mata kerinduan Sirul dan ibunya dapat dilihat tatkala kedua anakberanak itu berpelukan.

Piah juga membawa sambal ikan bilis kegemaran Sirul dari kampungnya.

"Saya memberi anggur dan kasut sukan yang dipesan oleh Sirul," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu yang menjadi saksi kepada suasana pertemuaan yang sayu dan hiba itu dalam satu kenyataan media hari ini.

Mahfuz bagaimanapun tidak menceritakan lebih lanjut mengenai pertemuan itu.

Beliau berkata pertemuan ini berlangsung bermula pukul 5.30 petang sehingga 7.30 petang waktu tempatan.

"Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Australia khususnya pihak berkuasa Pusat Tahanan Imigresen yang memberikan kebenaran kami bertemu Sirul. Sirul juga menyatakan salam penghargaan buat semua yang prihatin terhadapnya.

"Saya berpandangan misi kemanusiaan ini berjaya apabila dapat mempertemukan seorang ibu kepada anaknya yang dikasihi.