My E.G. Services Bhd (MYEG) telah dilantik oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bagi melaksanakan penghantaran pulang secara sukarela pekerja-pekerja asing tanpa permit untuk Jabatan Imigresen Malaysia.

Syarikat itu dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia pada Isnin, berkata kontrak tersebut bermula pada 10 Okt 2017 dan akan berakhir pada 31 Dis 2017.

Syarikat itu berkata tiada sebarang nilai tetap bagi kontrak itu kerana ia bergantung kepada bilangan pekerja asing yang berjaya dihantar balik.

"Kontrak itu dijangka akan menyumbang secara positif kepada pendapatan syarikat bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2018," katanya.

Katanya, satu perjanjian untuk memformalkan penerimaan kontrak akan ditandatangani dan diumumkan oleh syarikat tidak lama lagi.

- BERNAMA