Dibayangi oleh sejarah Perang Dingin, Malaysia dan Turkmenistan suatu masa dahulu tidak sejajar dan berasingan sama ada mengikut Blok Barat atau Blok Timur.

Kini, ada nafas baharu dalam kerjasama antara kedua-dua negara itu, terutamanya dalam aspek ekonomi.

Itu yang dikongsikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad susulan lawatan rasminya pada Sabtu atas jemputan Presiden Turkmenistan Gurbanguly Berdimuhamedov.

“Terdapat banyak persamaan dari segi dasar dan pendekatan antara Turkmenistan dan Malaysia. Oleh itu, banyak peluang diwujudkan untuk mengukuhkan lagi kerjasama kita,” kata Tun Mahathir dalam satu sidang media bersama Berdimuhamedov.

Lawatan rasmi Tun Mahathir pada Ahad bermula dengan satu majlis sambutan rasmi di Dataran Presiden yang disambut oleh Berdimuhamedov serta Duta-Duta Besar di Turkmenistan.

BACA: Dr Mahathir tiba di Kota Marmar

Susulan lagu Negaraku dan lagu kebangsaan Turkmenistan dimainkan oleh kumpulan pancaragam, kedua-dua pemimpin memulakan mesyuarat tertutup dalam Istana Oguzkhan yang disertai oleh Menteri Luar Malaysia dan Turkmenistan, Datuk Saifuddin Abdullah dan Rashid Meredov.

 Tun Dr Mahathir Mohamad (dua, kanan) mengetuai deligasi Malaysia pada mesyuarat dua hala bersama Presiden Turkmenistan Gurbanguly Berdimuhamedov dan barisan menterinya. - Foto BERNAMA

Kemudian, mereka sertai mesyuarat dua hala antara delegasi yang disertai oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas Tan Sri Wan Zulkiflee.

Hasil daripada pertemuan itu, dua dokumen ditandatangani oleh Saifuddin dan Rashid bagi mengukuhkan kolaborasi antara kedua-dua Kementerian Luar Negeri bagi 2020 hingga 2021.

Sementara itu, tumpuan turut diletakkan pada kerjasama ekonomi yang menyaksikan persetujuan antara kedua-dua pemimpin untuk menganjurkan satu forum perniagaan di Ashgabat pada 2020 serta pameran untuk mempromosikan produk Malaysia.

Mengulas mengenai masa depan Petronas Carigali Sdn Bhd, mereka bersetuju untuk meneruskan operasi pengeluaran minyak dan gas asli menerusi Petronas, antara syarikat minyak dan gas luar pesisir pertama di negara itu.

Selain industri minyak dan gas, kedua-dua delegasi juga berminat untuk bersama menerokai kolaborasi dalam industri kapas, aeroangkasa, pembinaan kapal, dan pengangkutan.

“Hubungan Malaysia-Turkmenistan sudah terpacak atas dasar kesaksamaan, hormat dan kepercayaan,” kata Presiden Berdimuhamedov.

“Ekoran itu, kami ingin membangunkan lagi hubungan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara.”

Tambah Berdimuhamedov, beliau berterima kasih atas sumbangan Tun Mahathir kepada pembangunan negara itu sejak mencapai kemerdekaan dari Kesatuan Soviet pada 1991.