Tutup

Nafas tidak sewa hotel untuk PRK Tanjung Piai - Salahuddin

Nafas tidak sewa hotel untuk PRK Tanjung Piai - Salahuddin
Salahuddin berkata menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu Nafas, bagi memastikan kebajikan 920 ribu peladang di bawahnya terjaga. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayub hari ini nafi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) telah memperuntukkan sejumlah dana untuk sewaan hotel bagi tujuan Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata, mengikut rekod yang diterima, Nafas hanya membuat sewaan untuk 38 bilik hotel sehingga 30 atau 31 Oktober sahaja, dan ia digunakan bagi tujuan ‘roadshow’ sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan 2019. 
“Sebenarnya ikut dokumen (yang diterima), Nafas telah mengadakan satu roadshow sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan… yang sewa hotel itu adalah pada 30 atau 31 Oktober.

“Selepas itu, sewaktu PRK Tanjung Piai, Nafas tidak terlibat. Roadshow di Johor Bahru, Benut, Pontian. Itu roadshow.
"Dan hari Khamis ini merupakan Hari Peladang yang akan diadakan di Plaza Angsana,” katanya sewaktu menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.


Sebelum ini Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) mendakwa Nafas telah membuat sewaan berkenaan di Pontian antara 15 Oktober hingga 15 November.

Selain itu, Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) pula mendakwa sewaan hotel berkenaan adalah bagi menempatkan petugas Parti Amanah Negara (Amanah) bagi tempoh berkempen PRK Tanjung Piai yang berlangsung antara 2 November hingga 16 November.

Mengulas mengenai dakwaan kementerian beliau menganugerahkan kontrak pembekalan baja bersubsidi bernilai RM1.4 bilion secara terus kepada Nafas, Salahuddin berkata, ia masih belum dimuktamadkan.

BACA: Isu Nafas: Bukan serangan politik - Mohamad Sabu

BACA: Urusan pemberian tender kepada Nafas belum muktamad - Salahuddin

Selain itu, Salahuddin, yang juga Timbalan Presiden AMANAH berkata, Nafas bukanlah pertubuhan atau syarikat biasa, kerana ia tertakluk di bawah Akta Pertubuhan Peladang 1967, dan adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu Nafas, bagi memastikan kebajikan 920 ribu peladang di bawahnya terjaga.

“Kewajiban untuk saya mendokong Nafas, apa yang saya beritahu pada Dewan ini dan rakyat, ini adalah mengikut prosedur, peraturan, dan perjuangan demi 920 ribu ahli peladang di bawah pertubuhan itu,” katanya lagi.