Kementerian Luar mengesahkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam kejadian nahas pesawat Lion Air, JT610.

"Kementerian Luar Negeri ingin memaklumkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah menghubungi pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan butiran terperinci mangsa yang terlibat.

"Setakat ini, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat di dalam kejadian ini. Pihak Kedutaan akan terus berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memantau perkembangan terkini," memetik kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar hari ini.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Nahas pesawat Lion Air

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau maklumat lanjut mengenai kejadian ini boleh menghubungi pihak Kedutaan menerusi emel [email protected]/[email protected] atau nombor telefon +62215224947 dan +6281380813036 (whatsapp).

Pesawat jenis Boeing 737-800 tersebut membawa seramai 188 orang penumpang termasuk seorang kanak-kanak, dua orang bayi serta tujuh orang krew, dalam penerbangan dari Jakarta ke Pangkal Pinang, Kepulauan Bangka Belitung.

Usaha mencari dan menyelamat masih giat dilaksanakan oleh pasukan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS) di lokasi kejadian.