Jenazah Nurul Maslan Sabran, 34 tahun, yang ditemui terapung di Perairan Batuan Unarang Sungai Taiwan berhampiran sempadan perairan Malaysia-Indonesia pada Isnin lalu selamat dikebumikan pada Rabu.

Selepas selesai proses bedah siasat, jenazah disembahyangkan di rumah ibu bapanya di Taman Apas Permai, sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Orang Islam Batu 15, Jalan Apas, di sini.

“Pergerakan kami antara pukul 2.30 hingga 3 petang, selepas jenazah dimandikan di Hospital Besar Tawau.

“Selepas itu, kami bawa jenazah ke sini untuk disembahyangkan bersama-sama keluarga," kata adik mangsa, Ismail Sabran.

Dia sempat berkongsi detik-detik terakhir sebelum abangnya dilaporkan hilang di kawasan laut Teluk Cowie, pada Jumaat.

“Beberapa jam sebelum dia meninggal, dia hilang. Ada kawan maklumkan, dia makan di restoran dan belanja semua orang.

“Selepas itu, dia pesan, jangan beritahu namanya, cakap saja hamba Allah. Itu yang terakhir.

"Dia memang suka membantu orang, beri sedekah kepada anak yatim. Saya nampak dia lebih kepada kasih sayang terhadap orang tua, anak dan isterinya,” katanya.

BACA: Lelaki hilang dikhuatiri lemas di Teluk Cowie

VIDEO: Mayat lelaki hilang di Teluk Cowie ditemui

Dalam pada itu, Ismail mewakili keluarga berterima kasih kepada pihak keselamatan, Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Indonesia, serta orang kampung yang turut membantu dalam misi pencarian jenazah abangnya selama tiga hari sebelum ditemui pada Isnin.

Turut hadir semasa pengebumian jenazah Nurul Maslan ialah Timbalan Pengurus Ibu Pejabat Parti Warisan Sabah, Anwar Hamzah, wakil-wakil pemimpin masyarakat sekitar Daerah Tawau serta ahli keluarga.

Nurul Maslan dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan dari Jeti Teluk Cowie ke Sungai Melayu Pualu Sebatik.

Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Tawau yang sedang bertugas meronda dalam Op Benteng COVID menemui perahunya dalam keadaan berpusing-pusing tanpa juragan pada kira-kira jam 5.50 petang Jumaat.