Mahu membuat pinjaman RM10,000 tetapi perlu bayar RM12,580.

Itu yang terjadi kepada seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini apabila diperdaya sebuah syarikat pinjaman yang tidak wujud di internet.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula pada 22 Feb lalu apabila mangsa yang berumur 23 tahun dan berasal dari Taman Melor di sini tertarik dengan iklan yang dipromosikan oleh syarikat "HL Credit2u".

Menurutnya, mangsa kemudian mengisi butir-butir peribadi seperti nama, emel, nombor telefon, jenis pinjaman, gaji bersih, jumlah pinjaman dan alamat tempat tinggal di portal syarikat berkenaan.

"Syarikat itu kemudian menghantar emel kepadanya sebelum mangsa menghubungi syarikat itu sendiri. Mangsa kemudian menerima pesanan ringkas melalui WhatsApp dari nombor 016-9857903 yang memperkenalkan dirinya sebagai agen dari syarikat tersebut.

"Selepas perbincangan melalui WhatsApp, mangsa bersetuju membuat pinjaman peribadi sebanyak RM10,000 dengan bayaran bulanan sebanyak RM200 dalam tempoh 60 bulan," katanya ketika dihubungi di sini, pada Sabtu.

Mohd Wazir berkata, namun pada 24 Feb lalu, mangsa memasukkan wang tunai sebanyak RM1,000 ke sebuah akaun bank tempatan sebagai deposit bagi pinjaman peribadi yang ingin dibuat.

"Mangsa kemudian membuat beberapa lagi transaksi ke akaun yang sama sehingga jumlah mencecah RM12,580. Semalam, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Pekan kerana rasa ditipu," katanya.

Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan kesemua suspek yang terbabit masih diburu.

BACA: Nak pinjam duit, perlu bayar dulu, mangsa ditipu RM1,200