Permintaan yang tinggi terhadap gamat untuk tujuan perubatan dan kosmetik di Vietnam dipercayai antara faktor hidupan itu menjadi buruan nelayan asing warga negara berkenaan.

Kegiatan itu terbongkar susulan penahanan enam nelayan Vietnam kira-kira 57 batu nautika dari muara Kuala Terengganu pada Ahad.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, ketika ditahan sekitar jam 9. 59 pagi itu, kesemua nelayan yang berusia 25 hingga 48 tahun itu sedang leka menangkap gamat.

Menurut Muhammad Suffi, nelayan berkenaan juga bertindak berani dengan sengaja membocorkan bot bagi melupuskan barang bukti semasa mengiringi bot ke jeti Maritim.

“Ada cubaan untuk menghapuskan atau melupuskan bahan bukti apabila salah seorang daripada awak-awak ini cuba membocorkan bot mereka.

“Bagaimanapun dengan tindakan pantas anggota APMM yang menjaga di atas bot tersebut, berjaya menyekat daripada kebocoran berlaku dengan lebih serius,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Maritim Terengganu pada Isnin.

Menurut Muhammad Suffi, hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan, pihaknya menemui kira-kira 30 kilogram gamat.

Jelasnya, gamat berkenaan dipercayai dijual sekitar RM10 hingga RM18 sekilogram di negara mereka.

Pihaknya juga percaya bot berkenaan baru memasuki perairan negara sekitar dua hari lalu berdasarkan bekalan serta hasil tangkapan yang diperolehi.

Kesemua mereka ditahan reman selama 14 hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985.