Insiden menyayat hati lima individu maut dalam nahas jalan raya melibatkan sebuah bus persiaran yang disyaki hilang kawalan di kawasan Kampung Surun-Surun, Jalan Marak Parak semalam, mendapat reaksi pilu daripada pengguna di media sosial.

Rata-rata pengguna Facebook dan kenalan rapat kepada mangsa terkesan dengan insiden itu serta menzahirkan rasa takziah kepada keluarga-keluarga mangsa selain memberi kata-kata positif.

Tidak lupa juga, ada yang mengenali mangsa insiden terbabit berkongsi kenangan manis bersama dan ada juga yang tidak percaya bahawa insiden tersebut telah meragut nyawa kenalan rapat mereka.

Melalui ucapan yang dikongsi oleh seorang pengguna Facebook, beliau menyatakan bahawa salah seorang mangsa yang maut merupakan bekas guru beliau di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambulion, Kota Belud.

Bagi seorang pengguna media sosial yang juga merupakan teman kepada anak mangsa, Anni Gideon, 56 tahun yang maut dalam insiden itu menggambarkan mangsa sebagai seorang yang baik hati serta banyak menolong beliau dalam semua perkara.

Terdahulu, keriangan 41 kakitangan Politeknik Sandakan termasuk ahli kerluarga mereka untuk menyambut Hari Keluarga di Kudat bertukar tragedi selepas bus yang dinaiki kesemua mangsa hilang kawalan selepas menuruni bukit di kawasan Jalan Marak Parak, Kota Marudu.






Pasukan penyelamat cuba membawa keluar mangsa kemalangan. Foto ihsan JBPM