"'Offset' adalah rasuah."

Demikian dakwaan Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berhubung kes skandal melibatkan AirAsia dan Airbus baru-baru ini.

Menurutnya, apa-apa bentuk penerimaan itu jatuh dalam kategori suapan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).

“Pada dasarnya, 'offset' atau apa sahaja sekalipun, andainya ia termasuk di bawah definisi suapan maka ia adalah rasuah.

“Sama ada ia diambil untuk orang lain, atau untuk organisasi atau untuk kroni pun dianggap rasuah, jika apa yang diambil itu jatuh dalam kategori suapan dalam Akta SPRM 2009,” jelasnya sewaktu dihubungi oleh Astro AWANI pada Ahad.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa untuk mendakwa sesuatu kes seperti ini, saksi dan dokumen sokongan yang mencukupi adalah perkara yang mustahak.

“Lebih penting adalah bagi memastikan para saksi dengan sukarelanya memberi keterangan kepada agensi penguatkuasa dan sanggup datang untuk memberi keterangan sekiranya ada kes di mahkamah kelak," katanya lagi.

Sementara itu, Akhbar berkata kes skandal melibatkan AirAsia dan Airbus mungkin memakan masa untuk selesai.

Beliau bagaimanapun yakin hubungan baik antara pihak SPRM dan pihak berkuasa United Kingdom dapat mempercepatkan siasatan kes itu.

“Kes ini agak kompleks, dan juga merupakan kes yang jarang-jarang berlaku sudah tentu mungkin ia makan masa.

“Tetapi berdasarkan kepada tindakan SPRM yang cepat dan proaktif dan juga kerjasama dan hubungan SPRM dengan luar negara, terutama di United Kingdom.

“Saya pasti bahawa kes ini akan cepat disiapkan siasatannya dan akan dibawa kepada pihak pendakwaan untuk menentukan ia ada kes atau tidak,” tambahnya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir pernah mengeluarkan kenyataan bahawa 'offset' itu hanya dianggap sebagai rasuah sekiranya wang disalurkan kepada individu dan jika bukan untuk kepentingan peribadi pula, perbuatan itu bukan rasuah.

Beliau turut menekankan bahawa ia adalah prosedur biasa bagi kerajaan meminta ‘offset’ di dalam pembelian harga tinggi.

BACA: Tun Mahathir tidak pernah keluar tuduhan rasuah ke atas AirAsia

BACA: Laporan Focus Malaysia jejas potensi keuntungan Malaysia Airlines - Khazanah