Kekurangan fizikal tidak mematahkan semangat seorang gadis genit orang kelainan upaya (OKU) untuk melakar kejayaan dan dinobat penerima Anugerah Pencapaian Khas Akademik pada Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM ) ke- 33 di sini.

Nurina Mohd Suhili, 23, lulusan Fakulti Seni Bina dan Reka Bentuk Persekitaran UIAM yang dilahirkan kerdil, berkata beliau mahu menjadi inspirasi kepada anak muda untuk cemerlang dalam kehidupan.

"Tipulah kalau saya kata saya tak rendah diri... pernah terfikir kenapa saya tak macam mereka? Kakak kembar saya dilahirkan dengan saiz macam orang lain, ibu bapa saya juga bukan orang kerdil, mereka semua normal.

"Emak pesan agar yakin dan reda dengan pemberian Allah. Sejak dulu saya berazam mahu jadi lebih baik daripada kakak (kembar) yang kini sedang belajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor... dia pembakar semangat saya," katanya yang merupakan antara 5,165 graduan yang menerima ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen kali ini..

Nurina bercakap kepada pemberita selepas menerima anugerah khas berkenaan yang disampaikan Presiden UIAM Tan Sri Dr Rais Yatim pada sesi pertama konvokesyen yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Dewan Utama Pusat Kebudayaan UIAM, Kampus Gombak.

Nurina berkata sebagai seorang yang dilahirkan kerdil, pelbagai cabaran perlu dihadapi apabila keluar rumah dan bertemu orang ramai, terutamanya sebagai pelajar kerana kekangan kemudahan di kampus yang kurang mesra OKU kategorinya.

"Kerap juga rasa nak putus asa dengan semuanya. Namun berkat doa ibu bapa saya serta mereka tidak jemu beri semangat, dari situ saya sedar yang saya kena banggakan mereka, saya tak boleh bazirkan wang dan titik peluh mereka yang ingin lihat saya berjaya.

"Selain itu, saya buat perancangan dari segi masa, jadual dan setiap pergerakan saya ke kelas atau ke mana sahaja, semua perlu diatur agar tidak timbul masalah," katanya yang turut menyifatkan diri bertuah dikelilingi rakan dan pensyarah yang banyak membantu.

Bapa Nurina, Suhili Hasan, 58, ketika ditemui pemberita berkata tiada apa yang mampu dilakukan selain memberi dorongan dan doa buat anak gadisnya itu.

"Saya bersyukur dengan kejayaan dia (Nurina). Anak saya ni cukup sifat, cuma saiz dia sahaja yang berbeza daripada orang lain. Apa yang mampu saya usahakan untuk dia, saya akan buat, tetapi kuncinya minta pada Allah yang maha memberi," katanya ringkas.

Pada sidang pertama konvokesyen hari ini, beberapa anugerah lain turut disampaikan antaranya Anugerah Pelajar Diraja yang diberikan kepada graduan Fakulti Perubatan Siti Aisyah Mohd Ramli dan Muhammad Adli Amirullah daripada Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Sains, Anugerah Keseluruhan Pelajar Terbaik, Sara Abdul Rahim (Ekonomi dan Pengurusan Sains).

Anugerah Presiden milik Muhamad Aznor Aqwa Azman (Perubatan), Anugerah Rektor pula diterima Nadia Shaheerah Suaib (Kejuruteraan) dan Anugerah Budi diberikan kepada Farah Nabilah Abdul Rahman lulusan Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan.

-- BERNAMA