Jumlah kemalangan sepanjang Op Selamat 10 sempena Tahun Baru Cina yang berakhir 5 Februari lalu meningkat kepada 20,752 kes berbanding 19,572 kes pada Op Selamat 8 tahun lalu, ujar Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Bagaimanapun, jelasnya, angka kematian menurun sebanyak 22 kes iaitu daripada 279 kepada 257 orang.

"Kes kemalangan maut direkodkan menurun sebanyak 26 kes (-10 peratus), di mana Op Selamat 10/2017 mencatatkan 235 kes berbanding Op Selamat 8/2016 sebanyak 261 kes," katanya dalam sidang media selepas Majlis Penutup Op Selamat 10/2017 sempena Tahun Baru Cina di Bukit Aman di sini hari ini.

Enam jenis kesalahan lalu lintas diberikan tumpuan iaitu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong garisan berkembar, memotong barisan, tidak patuh lampu isyarat dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

"Kalau kita berjaya memberi kesedaran mengenai sikap ini, saya percaya satu hari nanti kita akan berjaya mencapai tahap keselamatan jalan raya yang begitu tinggi," katanya lagi.

Sebanyak 255,392 saman telah dikeluarkan kepada pesalah jalan raya sepanjang tempoh operasi berkenaan.

"Kesalahan melebihi had laju 128,903 saman; memandu di lorong kecemasan 1,522 saman; memotong garisan berkembar 658 saman; memotong barisan 355 saman; tidak mematuhi lampu isyarat 3,982 saman; dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu 1,516 saman," kata beliau.

Justeru, beliau berharap pengguna dapat mematuhi undang-undang jalan raya dalam menangani kes kemalangan yang berlaku di seluruh negara.

"Kita berjaya dalam Op Selamat kali ini dengan menguruskan hal berkaitan kemalangan jalan raya dengan menurunkan kemalangan maut dan cedera parah.

"Pada operasi akan datang, iaitu perayaan besar, kita harap akan mencapai kejayaan yang lebih baik," ujarnya.

Dalam pada itu, Op Selamat 10 mencatatkan 748 kes pecah rumah, menurun 98 kes berbanding 846 kes pada Op Selamat 8.

"Namun, sepanjang tempoh Op Selamat 10/2017 ini, tiada sebarang kes pecah rumah berlaku terhadap rumah-rumah yang dilapor ditinggalkan kepada pihak polis," ujarnya.