Ops Gergaji: SPRM sita 1,785 balak, beku 519 akaun bernilai RM700 juta

Astro Awani
Mei 15, 2015 07:29 MYT
Ops Gergaji: SPRM sita 1,785 balak, beku 519 akaun bernilai RM700 juta. -Gambar: Astro AWANI/Nur Amalina Mohd Ghazali
Sebanyak 1,785 batang kayu balak bernilai RM1 juta disita dan 519 akaun syarikat dan individu bernilai hampir RM700 juta dibekukan sejak operasi bersepadu 'Ops Gergaji' dilancarkan 12 Mei lalu di Sarawak.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata pihaknya memerlukan masa untuk menjalankan siasatan yang menyeluruh memandangkan operasi ini melibatkan pembekuan sejumlah wang yang banyak.
"SPRM akan menjalankan siasatan dan pemeriksaan secara menyeluruh. Kami memerlukan masa. Kami akan berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan kes ini dengan segera," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya lagi, beberapa jentera seperti jengkaut dan jentolak yang nilainya dianggarkan RM800,000 telah disita di Bakun.
"Seramai 14 individu yang terdiri daripada pengarah dan pengurus syarikat kilang papan dan kolam balak telah dipanggil untuk membantu siasatan.
"Operasi bersepadu ini membuktikan komitmen padu Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam memerangi kegiatan rasuah dalam sektor pembalakan, di samping membendung aktiviti pembalakan dan penebangan hutan secara haram yang berleluasa di Sarawak.
"Adalah dipercayai bahawa perbuatan ini telah mengakibatkan kerugian sebanyak berbilion ringgit kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak. Langkah ini juga bertujuan melindungi khazanah alam sekitar Negeri Sarawak," jelasnya.
DARI KIRI: Pengarah SPRM Sarawak, Datuk Badrul Shah Norman; Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull ketika sidang media berkenaan 'Ops Gergaji'. -Gambar: Astro AWANI/Nur Amalina Mohd Ghazali
Dalam pada itu, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan berkata, Kerajaan Negeri Sarawak akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM bagi membanteras perlakuan rasuah dalam sektor pembalakan di Negeri Sarawak.
"Kami akan memberi kerjasama penuh kepada mereka (SPRM)," katanya.
BACA: SPRM lancar Ops Gergaji cari pembalak elak cukai
Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Datuk Badrul Shah Norman menjelaskan, beberapa syarikat yang diserbu dalam Ops Gergaji ini pernah menandatangani oleh enam Ikrar organisasi Integriti utama Korporat industri (CIP),
"Ini satu langkah permulaan. Jangan menganggap CIP akan menyelesaikan masalah ini dengan cepat.
"Tetapi langkah yang saya ambil itu (membawa kepada usaha menandatangani CIP), tidak akan menyelesaikan masalah (rasuah) dalam satu malam. Ia hanya satu langkah permulaan," katanya.
BACA: Ops Gergaji: Biro pemantau Perkasa puji tindakan berani SPRM
Lebih 400 anggota pegawai penguat kuasa terlibat dalam Ops Gergaji. Daripada jumlah itu, seramai 100 anggota merupakan pegawai SPRM, 102 pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri, 220 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia dan 65 anggota daripada Jabatan Perhutanan Negeri Sarawak.
Turut menyertai Ops Gergaji ialah Pasukan Gerakan Am.
Sebanyak 49 lokasi di enam daerah, iaitu Miri, Kuching, Sibu, Bintulu, Bakun dan Kapit diserbu secara serentak. Di Miri, sebanyak 13 premis perniagaan telah diserbu, diikuti Kuching (12), Sibu (12), Bintulu (6), Bakun (4) dan dua di Kapit.
#Ops Gergaji #PERKASA #Sarawak #SPRM