'Polis hanya tahu cari salah orang'.

Itu adalah antara kenyataan kasar yang dipekik oleh seorang pengguna jalan raya ketika beliau ditahan atas kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar di Kampar pada tengah hari Khamis.

Dalam kejadian sekitar 12 tengah hari itu, pemandu yang berusia 47 tahun berkenaan turut bertindak mengasari dan menyebabkan kecederaan di tangan kanan pegawai bertugas dalam Ops Selamat tersebut.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superitendan Ng Kong Soon berkata suspek yang enggan bekerjasama tersebut juga bertindak menepis buku saman yang dipegang pegawai sehingga terjatuh ketika beliau ditahan dalam Ops Selamat yang dijalankan di sekitar Taiping itu.

"Kejadian di Kilometer 5 berhampiran pasar raya Tesco itu berlaku apabila pegawai bertugas menahan sebuah kenderaan jenis Daihatsu Charade kerana suspek tidak memakai tali pinggang.

"Ketika pegawai meminta suspek menunjukkan kad pengenalan dan lesen memandu suspek bertindak keluar daripada kenderaan dan mengatakan 'you orang jangan suka-suka bikin orang susah',"katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada malam Khamis.

Ng berkata pegawai berkenaan hanya mendiamkan diri dan suspek mula menepis buku saman sebelum memekik 'polis hanya tahu cari salah orang' kepada pegawai berkenaan.

Suspek kemudian menjerit sebelum merampas semula kad pengenalannya daripada tangan pegawai berkenaan.

"Pegawai kemudian bertindak menangkap suspek dan berlaku kejadian tolak menolak sebelum suspek dibawa ke Balai Polis Kampar untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, percakapan suspek dalam kejadian tersebut telah dirakam dan saman atas kesalahan tidak memakai tali pinggang dan menghalang tugas penjawat awam telah dikeluarkan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Kanun Keseksaan dan suspek kini ditahan di lokap IPD Kampar dan dijangka dituduh di Mahkamah Majistret pada Jumaat,"ujarnya.