Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mencadangkan supaya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menaikkan had tunggakan cukai bagi tujuan sekatan perjalanan ke luar negara oleh individu atau syarikat.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Hasan Arifin berkata had tunggakan cukai tidak kurang daripada RM2,000 setiap individu yang dilaksanakan pada masa kini adalah kurang sesuai dengan keadaan ekonomi semasa.

"PAC mengesyorkan kepada Kerajaan supaya mengkaji semula had tunggakan cukai supaya dinaikkan kepada RM10,000 untuk pembayar cukai individu dan RM50,000 untuk syarikat.

"Sebelum sekatan dikenakan, LHDN perlu memastikan notis tunggakan cukai disampaikan kepada individu atau syarikat mengikut undang-undang seperti yang diamalkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"Sistem penyampaian LHDN perlu dinaik taraf dengan menggunakan teknologi baru seperti sistem pesanan khidmat ringkas (SMS), aplikasi WhatsApp atau e-mel dalam menyampaikan peringatan notis tunggakan cukai atau sekatan perjalanan ke luar negara," katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan di Parlimen hari ini.

Perkara itu disuarakan PAC susulan penemuan Jabatan Audit Negara dalam pembentangan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2015 Siri 2 yang dibentangkan di Parlimen pada 21 Nov 2016.

Malah tegasnya, LHDN serta Jabatan Imigresen Malaysia perlu memastikan pangkalan data yang digunakan sentiasa dikemaskini supaya tidak berlaku kes pembayar cukai yang telah menjelaskan cukai tetapi masih mengalami masalah semasa hendak ke luar negara.

Syor yang dikemukakan PAC itu adalah hasil mesyuarat prosiding pada 27 Mac 2017 bersama Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Siti Zauyah Md Desa dan Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Sabin Samitah.