Bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menyifatkan Lembaga Tabung Haji (TH) tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) institusi Islam.

Jelas beliau, TH seharusnya menjalankan siasatan dalaman terlebih dahulu dengan memanggil beliau untuk mendapatkan penjelasan dan bukannya terus membuat laporan polis tanpa mengetahui perkara sebenar susulan dakwaan RM22 juta telah digunakan untuk aktiviti berkaitan politik.

"Saya terkejut SOP ini tidak diguna pakai walaupun saya bekas Pengerusi Tabung Haji. Adalah baik pihak Tabung Haji memanggil saya untuk memberikan keterangan dahulu.

“Kita boleh adakan siasatan dalaman, boleh tanya saya dahulu duit ini datang daripada mana, bagaimana diagihkan.

"Ini tiba-tiba hari Sabtu pagi semua di dada akhbar keluar laporan terhadap diri saya kononnya RM22 juta disalah guna untuk politik," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

BACA: TH kekurangan RM4 bilion wang pendeposit berbanding aset - Laporan

BACA: Saya pernah dimaki 'secara berjemaah' dalam isu Tabung Haji - Rafizi Ramli

Menurut Abdul Azeez, dana RM22 juta yang digunakan untuk program “Ziarah Kasih”, “Jom Bantu Rakyat” dan “Ziarah Kasih Ramadhan” adalah untuk membantu ibu-ibu tunggal miskin di lebih 60 kawasan Parlimen tanpa mengira fahaman parti.

Tegasnya dana tersebut bukan wang daripada pendeposit TH tetapi sebahagiannya hasil daripada keuntungan pelaburan Tabung Haji itu sendiri berjumlah RM7 juta.

"Bakinya adalah hasil sumbangan UMNO Malaysia, kerajaan Persekutuan dan syarikat-syarikat yang tidak pernah berniaga dengan Tabung Haji untuk menjalankan aktiviti bulan Ramadhan pada 2017," katanya.

Jumaat lepas, TH telah membuat laporan dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM melibatkan bekas pengerusi Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah dan kakitangan pengurusan kanan.

Kakitangan kanan itu ialah Ketua Pegawai Operasi, Datuk Adi Azuan; Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Rozaida Omar; Penasihat Undang-undang, Hazlina Mohd Khalid; dan Pengurus Besar Kanan, Perkhidmatan Korporat dan Harta Tanah, Rifina Md Ariff.