Pakar Pengurusan Risiko merangkap Pengarah Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti Putra Malaysia, Dr Mohd Rafee Baharudin memuji tindakan pantas warga kerja Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Jalan Gasing keluar menyelamatkan diri.

Katanya, ia membuktikan kesemua mereka cukup terlatih dalam menghadapi situasi cemas di kawasan mereka bekerja.

Tiada kemalangan jiwa membuktikan warga KWSP sedia menghadapi sebarang situasi cemas

"Untuk kepentingan masa depan, semua orang harus prihatin tentang pengurusan risiko bagi mencegah sebarang bentuk kemalangan memandangkan ia amat penting," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Menurut beliau, penggunaan clading atau lapisan pelindung sememangnya tidak sesuai di bangunan kerajaan kerana ia memang bahan mudah terbakar malah satu pelan pengurusan risiko perlu dikuatkuasa untuk sebarang kerja penyelenggaraan yang dibuat.

"Mungkin penyelia bertugas yang terlatih boleh bertindak awal apabila terjadinya kebakaran.

"Akan tetapi bagi orang ramai atau penghuni bangunan, mereka juga patut sensitif dengan sebarang aktiviti termasuk kerja-kerja penyelenggaraan yang boleh membawa risiko kebakaran," katanya.

Mengulas mengenai punca kebakaran, Pengarah Pusat Kejuruteraan Forensik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Prof Ir Dr Mohd Hanim Osman pula menyifatkan penggunaan clading di kebanyakan negara dunia sebenarnya tidak memenuhi keperluan standard bangunan.

Kebanyakan clading yang digunakan tidak menepati syarat keselamatan kebakaran - Prof Ir Dr Mohd Hanim

Katanya, kesemua bahan yang diguna sepatutnya mencapai 'Class 0' yang bermaksud bahan itu hanya boleh terbakar di permukaan tanpa merebak.

"Dari segi struktur bangunan, penggunaan clading tidaklah memberi apa-apa kesan kepada kekuatan struktur bangunan.

"Jika ia gagal, ia hanya menggagalkan nilai estetik bangunan itu sahaja," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Katanya, api mudah merebak bukan sahaja akibat bahan clading yang mudah terbakar semata-mata.

"Biasanya clading ni berada di antara struktur utama yang berfungsi untuk menyerap haba dan mengelak air hujan.

"Jadi, ruang antara bahan ini menyebabkan wujudnya oksigen dan mempercepatkan proses perebakan api jika berlaku kebakaran," jelasnya.