Pembentukan pasukan khas untuk menyiasat isu dakwaan penyaluran dana ke akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat langkah tepat yang membolehkan siasatan menyeluruh dilakukan untuk tujuan tersebut.

Ahli Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, penubuhan pasukan yang dianggotai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), PDRM dan Bank Negara adalah langkah yang sangat tepat ketika ini.

"Pasukan petugas khas ini mesti diberikan pengupayaan dalam segala segi. Pasukan petugas khas ini perlu bertindak benar-benar di atas jalur kepentingan 'nasional' dan tidak sama sekali tunduk kepada sebarang tekanan, baik daripada mana-mana individu mahupun pihak media.

"Secara peribadi, saya melihat ada 'hikmah' di sebalik serangan yang berat dan tajam ini. Sekiranya, pasukan petugas khas berjaya membuktikan tuduhan ini adalah liar dan berniat jahat; ianya sekali gus akan memusnahkan banyak untaian fitnah yang berlegar sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

BACA: Dana ke akaun PM: Pasukan siasatan khas dibentuk, tiga syarikat diserbu

Reezal mengulas kenyataan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang dilaporkan berkata, pihak berkuasa menyiasat pejabat tiga buah syarikat yang dikaitkan dengan dakwaan pemindahan sejumlah dana yang besar ke akaun Najib pada Jumaat selain memperoleh sejumlah dokumen yang berkaitan.

Menurut Gani, serbuan ke atas SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd itu dilakukan oleh sebuah kumpulan penyiasat pasukan petugas khas yang dianggotai oleh beberapa agensi penguatkuasa.

BACA: Najib dakwa Mahathir di belakang dakwaan beliau ambil wang 1MDB

Wall Street Journal (WSJ) dan Sarawak Report dalam laporannya pada Jumaat mendakwa siasatan kerajaan terhadap 1MDB mendapati wang berjumlah berbilion ringgit disalurkan ke akaun peribadi Perdana Menteri.

WSJ juga mendakwa dokumen menunjukkan hampir AS$700 juta (RM2.67 bilion) dipindahkan ke agensi milik kerajaan dan kemudiannya ke akaun peribadi perdana menteri dalam beberapa deposit berasingan.

Sarawak Report pula mendakwa, RM42 juta dimasukkan ke akaun Najib daripada SRC International Sdn Bhd, syarikat milik Kementerian Kewangan.

BACA: 1MDB: Usah bertindak melulu dan terus menghukum Najib- Hishammuddin

Dalam pada itu jelas Reezal, kredibiliti Najib disifatkan mampu dikembalikan dengan cukup bermaruah jika pasukan khas berkenaan dapat membuktikan setiap tuduhan bersifat fitnah semata-mata.

Tegasnya, masyarakat juga diminta tidak terlalu memikirkan siapa di belakang serangan media antarabangsa dan blog tertentu ini.

BACA: Laporan WSJ: 'Kalau sahih, kenapa tak dedahkan sumber?' - Rahman Dahlan

"Yang lebih penting, halaman kita mesti dibersihkan daripada tuduhan-tuduhan yang dibuat.

"Tuduhan seperti ini mempunyai kesan kepada trajektori sokongan rakyat kepada parti dan kerajaan. Justeru, ianya mesti ditangani dengan pantas atau kita akan meletakkan imej parti dan kerajaan di dalam keadaan yang tertekan.

"Tuduhan seperti ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Memang benar, tindakan dan remedi guaman adalah inisiatif yang afdal, namun usaha 'pembersihan imej bersifat total' juga mesti dilakukan dengan kadar segera," ujarnya.