Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) mahu kerajaan bertindak tegas termasuk menguatkuasakan pelbagai undang-undang sedia ada untuk mematahkan cubaan menggulingkan kerajaan secara tidak demokratik.

Menurut Mubarak, ia akan bekerjasama dan menyokong dengan cara yang dibenarkan undang-undang sebarang langkah yang diambil mana-mana pertubuhan dan organisasi untuk menggagalkan cubaan seumpama itu.

"Mubarak berikrar untuk terus mendukung kepimpinan kerajaan sedia ada yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," menurut ketetapan yang diambil Perhimpunan Agung Mubarak selama dua hari yang berakhir di sini hari ini.

Mubarak menarik perhatian bahawa ada usaha berterusan pihak tertentu untuk mempengaruhi kuasa asing dan media antarabangsa supaya campur tangan dalam hal ehwal negara yang turut boleh menjejaskan prestasi ekonominya.

Persidangan itu turut mengambil maklum dan membahaskan antaranya tentang kedegilan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan pihak tertentu untuk menjatuhkan kerajaan diterajui Najib melalui cara tidak demokratik, serta cubaan mempengaruhi institusi raja.

Selain itu, Mubarak meminta UMNO dan Barisan Nasional (BN) menetapkan tugas yang perlu dilaksana anggota Majlis itu di setiap peringkat bagi memastikan kemenangan besar BN pada pilihan raya umum ke-14.

Mubarak juga menggesa tokoh politik dari semua parti, tokoh korporat, ahli perniagaan, pegawai kerajaan serta rakyat supaya patuh kepada peruntukan Perlembagaan Malaysia, Rukun Negara, sistem demokrasi berparlimen dan konsep perkongsian kuasa antara kaum yang diamalkan sejak merdeka.

Selain itu, Mubarak juga menyokong semua dasar dan program nasional yang dirangka serta dilaksanakan kerajaan selaras dengan prinsip demokrasi yang diamalkan kerajaan. -- BERNAMA