Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan pelantikan Menteri Besar Johor yang baharu adalah hak kerajaan dan parti politik yang memenangi pilihan raya bukan Institusi Raja.

Jelasnya, ketika ini pihaknya sedang meneliti beberapa calon untuk menyandang jawatan itu selepas Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian meletak jawatan pada Isnin.

Namun, jelas Tun Mahathir, proses berkenaan akan memakan masa untuk menamakan calon yang benar benar layak dilantik.

“Kita akan lantik secepat mungkin kita nak tentukan calon, kita ada beberapa calon. Kita kena pilih tetapi ia akan memakan masa sedikit, kita akan buat secepat yang mungkin.”

BACA: Titah untuk tukar Menteri Besar Johor sudah lama dibuat - TMJ

BACA: Osman Sapian letak jawatan Menteri Besar Johor

“Ini adalah isu politik, Sultan tidak mempunyai kuasa untuk melantik siapa Menteri Besar tetapi itu adalah hak parti politik yang memenangi pilihan raya," kata Tun Mahathir.

BACA: Sah, MB Johor letak jawatan - Tun Mahathir

Enggan mengulas spekulasi berhubung pelantikan Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin sebagai MB baharu, Tun Mahathir hanya berkata beliau tidak tahu menahu mengenai khabar angin yang sedang bertiup kencang masa ini.

Beliau ditemui dalam sidang media selepas perasmian Kuala Lumpur Islamic Finance Forum ke-15 di ibu negara pada Rabu.