Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian meletakkan jawatan berkuat kuasa semalam.

Berita peletakan jawatan itu diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam sidang media di Parlimen hari ini.

Dr Mahathir berkata Osman, Anggota Dewan Undangan Negeri Kempas, menyerahkan dua surat peletakan jawatan itu kepadanya dalam satu pertemuan di Putrajaya pada Isnin, dengan satu daripadanya kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.





Osman merupakan menteri besar yang dipercayai paling singkat mentadbir kerajaan negeri ini, iaitu tidak sampai 11 bulan.

ADUN Kempas itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-16 di Istana Bukit Serene pada 12 Mei 2018, susulan kemenangan Pakatan Harapan (PH) sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei.

BACA: Pertemuan MB Johor dan Perdana Menteri jadi tumpuan media

BACA: Jangan terikut spekulasi tukar MB Johor - Syed Saadiq

Osman, ketika dilantik merupakan Setiausaha PH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Johor, menggantikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin daripada Barisan Nasional (BN) sebagai menteri besar.

Walaupun tempoh menerajui pentadbiran kerajaan negeri terlalu singkat, Osman merupakan Menteri Besar yang agak kontroversi.

BACA: Usah percaya khabar angin pertukaran MB Johor

BACA: Mana MB Johor di pemukiman pemimpin Malaysia dan Singapura?

Awal tahun ini, beberapa portal berita dari Singapura mendakwa Osman memasuki perairan negara itu semasa lawatannya ke kawasan sempadan perairan Malaysia-Singapura pada 9 Jan.

Laporan itu disangkal Osman.

Februari lalu, Osman turut terpalit isu sijil palsu sebelum mengakui beliau tidak menamatkan pengajian ketika menuntut di Kolej Pertanian Malaya, yang kemudiannya dinaik taraf menjadi Universiti Pertanian Malaysia (UPM).

BACA: Osman harus mohon ampun daripada Sultan Johor dan rakyat Kempas

Osman turut mendakwa beliau tidak tahu mengenai beberapa laman sesawang yang mengatakan dirinya berkelulusan diploma dan ijazah perakaunan daripada UPM.