Seorang pemandu bas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu dengan pengaruh dadah dan gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kematian seorang remaja, Khamis lepas.

Mengikut pertuduhan, tertuduh, S. Peter Paul, 49, didakwa memandu bas persiaran di jalan raya dan berada di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan dia tidak berdaya mengawal kenderaan seterusnya menyebabkan kematian seorang remaja yang menunggang motosikal, Muhammad Saifullah Mohammad Hafiez, 16 tahun.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Jalan Dato Ismail Hashim dalam daerah Barat Daya di sini pada 6.30 petang, 7 Nov lalu .

Untuk itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 dan boleh dipenjara sehingga 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rais Imran Hamid menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin atas alasan perbuatan yang dilakukan tertuduh amat serius.

Bagaimanapun, peguam S. Yagoo yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh hanya bekerja sambilan dan merupakan seorang bapa tunggal yang perlu menyara tiga orang anak dan ibunya.

BACA: Polis sahkan identiti mangsa nahas dirempuh bas persiaran di Bayan Lepas

Peguam itu berkata anak guamnya hanya berpendapatan RM1,400 sebulan dan memohon mahkamah mengurangkan jaminan kepada RM10,000.

Majistret Ahmad Tajudin Zain kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Dis ini untuk sebutan kes.

BACA: Pemandu bas persiaran rempuh pelajar di lampu isyarat positif dadah, tiada lesen

Dalam kejadian Khamis lepas, seorang penunggang motosikal maut manakala dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di persimpangan empat lampu isyarat Setia Triangle di Bayan Lepas.

Difahamkan, sebuah bas yang datang dari arah Persiaran Kelicap hilang kawalan selepas melalui simpang berkenaan merempuh motosikal sebelum merempuh sebuah kereta.

--BERNAMA