Pembangunan Kampong Bharu akan menjadi kenyataan seandainya pewaris tanah bergabung dan menggunakan perkiraan faraid dalam pembahagian jumlah harga tanah.

Bekas Pemula Runding Pemilik Tanah Kampong Bharu, Shahariah Sabarudin berkata, jika tidak, pembangunan itu hanya menjadi impian sehingga semakin ramai pewaris meninggal dunia.

Jelasnya, paling penting persetujuan untuk menyerahkan tanah kepada pemaju dengan persetujuan harga daripada semua pihak yang terlibat.

"Saya cuma minta kalau tiap-tiap lot itu, saya cadangkan pembangunan diberi kepada kerajaan kepada pihak berkuasa.

Bagi kita, permulaan itu mesti bermula dari tanah kita. Macammana kita hendak jual atau tidak, selagi kita tidak bergabung untuk jual atau bangunkan, benda itu tidak akan berlaku," katanya ketika ditemui.

BACA: Berapa harga tanah Kampung Baru?

BACA: Gabung tanah jamin cepatkan pembangunan Kampung Baru

Menurut istilah syarak, faraid ialah pembahagian harta seorang Islam yang telah meninggal dunia dan tidak meninggalkan wasiat sebelum kematiannya. Maka harta peninggalannya akan dibahagikan kepada ahli warisnya (seperti anak, isteri, suami, dan ibu) menurut hukum Islam.

Shahariah sebelum ini menggesa kerajaan menetapkan segera harga untuk satu kaki persegi tanah di Kampong Bharu sebelum pengumuman sebarang pelan pembangunan.

Tegasnya, harga minimum untuk satu kaki tanah harus diberikan segera demi melancarkan pelan pembangunan sekali gus menyelesaikan kemelut yang sekian lama tertangguh.

Lebih 70 peratus daripada penama atau pemilik asal tanah di Kampong Bharu yang sudah meninggal dunia menyukarkan sebarang pembangunan di lokasi berkenaan.

Katanya, niat baiknya selalu disalah erti penduduk kampung yang menganggapnya ejen hartanah yang mahu mengaut keuntungan atas angin.

"Saya sering dihalau oleh pewaris yang salah sangka, mereka ingat saya mahu bolot harta.

"Saya sabar dan teruskan usaha menggabung tanah agar isu ini cepat selesai. Saya memikirkan hak-hak mereka ini dan niat saya mahu pembahagian selesai," jelasnya.

Dalam pada itu, penduduk kampung menyifatkan kelewatan pembangunan disebabkan kelemahan Perbadanan Kampong Bharu (PKB) sendiri.

Kata Ibrahim Alias, 62 tahun, isu ini tidak mungkin selesai kerana tiada kata sepakat daripada PKB dengan penduduk sendiri.

"Saya tidak ada masalah hendak bangunkan Kampong Bharu; saya ada harta banyak di sini, tapi kenapa dia (PKB) tidak datang jumpa kita.

"Bila dia datang bagi idea, idea yang kita beri pun tak setuju. Dia sendiri pun kita tanya tidak ada data, berapa penduduk yang tidak tukar hak milik," jelasnya.

Sementara itu, Abu Bakar Yusof, 78, menyifatkan PKB tidak mempunyai pengalaman dalam menguruskan isu berkenaan tanah selain pelan pembangunan yang terlalu besar.

"Kelambatan senang sahaja, sebab mereka tidak ada pengalaman. Kalau tidak ada pengalaman hendak bangunkan (Kampong Bharu) memang susah.

"Jadi di Kampong Bharu ini tanahnya ada penduduk dan orang suka pembangunan, kita harapkan PKB tetapi lima tahun tidak ada apa-apa cerita, hanya cerita," tegasnya.

BACA: Kenapa kerajaan takut tetapkan harga tanah di Kampung Baru? - Shahariah

BACA: 'Memang kami trauma dengan pembangunan Kampung Baru' - Shamsuri

Nada sama diluah Joyah Ningal, 83 tahun, yang mahu pembangunan Kampong Bharu tidak meminggirkan hak-hak pemilik asal.

"Duit tak mahu. Ganti balik; ambil 10 ganti 10. Kalau duit kita tak mahu.

"Awak (PKB) suka bangun kasi bangsa asing, orang Melayu pergi jauh, tapi kata hendak bantu Melayu," tegasnya.

Sementara itu, Shaharuddin Badrun, 59 tahun, menyifatkan pelan besar PKB selain keengganan pewaris di lot tanah berbeza untuk bersatu menjadi punca kelewatan pembangunan.

"Saya tengok pelan dia terlalu besar sehingga PKB tidak dapat jalan kerana saya tengok pelan untuk membangunkan itu terlalu besar sangat sehingga tidak ada orang mampu hendak ambil kesemua tanah Kampong Bharu.

"Sudah jadi terlalu mahal, jadi kalau tengok hendak buat secara kecil-kecilan mungkin boleh, hendak satukan empat ke lima lot untuk pembangunan bukan senang," ujarnya.

Kampong Bharu dibuka pada tahun 1900 oleh Kerajaan Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri Selangor semasa rancangan pembangunan semula Kuala Lumpur.

Sebelum ini, PKB yang menjadi perantara kerajaan dan pemilik tanah Kampong Bharu menyatakan sebanyak 88 peratus daripada 2,388 pemilik tanah bersetuju untuk membangunkan semula kawasan berkenaan.

Penduduk Kampong Bharu sebelum ini juga disifatkan berada dalam ketakutan selagi kerajaan tidak memberi perincian terhadap pembangunan kawasan tersebut.