Isu pemberian hak milik kekal tanah boleh diselesaikan melalui bidang kuasa negeri tanpa perlu mendapat persetujuan Perdana Menteri dan timbalannya.

Demikian menurut Naib Pengerusi DAP Perak Dr Abdul Aziz Bari yang berkata, perkara itu jelas termaktub dalam Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan dan Kanun Tanah Negara.

Sehubungan itu, katanya, ia tidak sepatutnya menjadi isu untuk dilaksanakan kerana ia adalah janji manifesto Pakatan Harapan (PH) negeri Perak.

“Apabila ia satu janji manifesto, ia tidak perlukan keputusan ataupun resolusi Kabinet ke ataupun Exco.

“Ia adalah sesuatu yang mesti ditunaikan sebab rakyat telah memberi sokongan dan kemenangan. Maka kerajaan mesti menunaikan janji itu,” katanya ketika ditemui selepas program Kembali Ke Sekolah di Kampung Cempaka Sari di sini, pada Jumaat.

BACA: Pemberian hak milik kekal tanah terkandung dalam manifesto PH

Pada Khamis, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meminta semua pihak supaya tidak mempolemik atau mempolitikkan isu pemberian hak milik tanah 999 tahun kepada kampung-kampung baharu di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri akan mendapatkan nasihat Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Majlis Tanah Negeri (MTN) berkaitan isu tersebut sebelum melakukan tindakan seterusnya.

Abdul Aziz berkata, isu hak milik kekal tanah tidak boleh dilihat daripada lensa kaum, sebaliknya perlu dilihat dari segi undang-undang dan keadilan sosial.

BACA: Isu tanah kampung baru perlu dapat pandangan semua pihak - MB Perak

BACA: Henti polemik isu hak milik tanah kampung baharu - MB Perak

Menurutnya, tanah adalah untuk rakyat membina rumah, bukan untuk tauke-tauke atau korporat menambah kekayaan dan ia juga bukan beratus hektar dan bukan juga untuk menggondolkan bukit.

“Jadi saya tidak nampak ada isu di sini. Kita kena hentikan melihat isu ini daripada persepsi kaum.

“Saya lihat banyak dalam blog, dalam Facebook dan sebagainya. Bila sebut tanah hak milik kekal, kaum Melayu miskin, tanah Melayu habis, Cina rampas tanah Melayu, dan sebagainya,” ujarnya.

BACA: Isu hak milik tanah 999 tahun: Jangan cabul perlembagaan - UMNO Perak

Abdul Aziz berkata, permintaan untuk membincangkan isu itu di dalam PH memang pernah dibangkitkan tetapi ia tidak pernah berlaku.

Beliau turut mendedahkan manifesto PH Perak ditulis oleh seseorang daripada parti Amanah, bukannya DAP.

“Jadi, jangan timbulkan isu kaum dan jangan salahkan DAP. Ini soal yang sudah dipersetujui.

"Walaupun saya tiada di situ waktu perbincangan, tetapi sebagai kerajaan, kita bertanggungjawab untuk melaksanakan segala janji yang kita buat,” tegasnya.

VIDEO: Exco Perak diingat hati-hati ulas isu sensitif